Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
71) DASAR PEMBANGUNAN DESA
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Luar Bandar
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan pembangunan lot rumah yang tidak tersusun di tanah pertanian kampung tradisi?
Merujuk kepada KajianPelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 telah dikenalpasti terdapat 519 buah kampung dan dari jumlah tersebut 368 adalah Kampung Tradisi.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri pada tahun ini sedang menyediakan Pelan Tindakan Khas (PTK) Kajian Penstrukturan Semula Kampung Dalam Bandar Negeri Selangor 2019 – 2023 dengan peruntukan RM1.5 juta sebanyak telah mengenalpasti 27 buah kampung dalam bandar yang mempunyai penduduk lebih daripada 10,000 orang telah dikenalpasti untuk diselia Pelan Perancangan Gunatanah secara terperinci serta mengkaji pendekatan perancangan bersesuaian bagi pembangunan tanah pertanian termasuklah lot-lot lidi.
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membangunkan lot tapak rumah atau perumahan pekerja estet di atas tanah Kerajaan?
Kerajaan Negeri buat masa kini tiada perancangan untuk menyediakan lot tapak rumah atau perumahan pekerja estet, namun demikian Kerajaan Negeri bersedia untuk mengkaji secara terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat berkenaan perkara tersebut.
-
Bagaimanakah perancangan penstrukturan semula kampung-kampung bagan?
Kerajaan Negeri telah menjalankan Kajian Pembangunan Penempatan Penduduk Kampung Baru di Kawasan Bagan Negeri Selangor pada tahun 2015. Kajian ini mengariskan perancangan dan cadangan penyelesaian isu penempatan penduduk di Kampung Bagan Negeri Selangor seperti menaiktaraf dan menyediakan kemudahan awam dan masyarakat, menaiktaraf jeti awam sedia ada, menaiktaraf laluan masuk utama dan cadangan tempat pembuangan sampah berpusat serta membangunkan pusat penjualan hasil kampung.
Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 yang disediakan pada tahun 2017 juga turut mengenalpasti beberapa tindakan dan perancangan bagi petempatan 19 buah Kampung Bagan di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang untuk dirancang dalam keadaan yang teratur dan lengkap dengan kemudahan asas yang diperlukan bagi meningkatkan kualiti kehidupan penduduk.
Tindakan strategik antara yang dikenalpasti adalah penyediaan Pusat Mikro Smart Desa (MSD) Selangor di Kampung Bagan Sungai Buloh/Sasaran Sabak Bernam dan Kampung Bagan Pulau Ketam, Klang yang berperanan sebagai pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan seperti Mini Smart Library, Kebun Smart Komuniti dan Smart Desa Shoppe – Smart Agro Shope yang memasarkan produk tempatan dan kraftangan, tandas awam dan tempat letak kenderaan.
Selaras dengan matlamat memberdayakan masyarakat desa termasuklah di kampung-kampung bagan ke arah ‘Global Village’ dengan izin, Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 turut mengenalpasti tiga (3) buah kampung bagan daripada keseluruhan 46 buah kampung sebagai model perintis SmartDesa Selangor (SDS) yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan luar bandar di negeri Selangor iaitu Kampung Bagan Sungai Buloh/Sasaran sebagai model Smart Desa Pelancongan, Kampung Bagan Sungai Yu di Kuala Selangor sebagai model Smart Desa Eko dan Kampung Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam sebagai model Smart Desa Resilien.
Walau bagaimanapun, fasa pelaksanaan perancangan ini adalah sehingga tahun 2035 dan tertakluk kepada inisiatif dan kemampuan kewangan agensi pelaksana di peringkat kerajaan Negeri, Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan.