Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
100) DASAR MORATORIUM 25 TAHUN
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Dewan Negeri Selangor telah meluluskan Dasar Moratorium 25 tahun hentikan pembalakan dalam kawasan hutan simpan pada tahun 2010. Kini operasi kuari turut dikatakan merosakkan hutan simpan. Sila jelaskan.
Secara dasarnya, Dasar Moratorium 25 tahun adalah bagi membekukan aktiviti pembalakan dalam kawasan hutan simpanan kekal di negeri Selangor mulai tahun 2010 hingga 2035. Dasar ini dilaksanakan antaranya untuk memberi tempoh masa proses pemuliharaan hutan di negeri ini. Namun, sebarang pembangunan di kawasan hutan simpanan kekal masih boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri sekiranya melibatkan kepentingan awam.
Dalam konteks untuk memastikan aktiviti pengkuarian dalam hutan simpanan kekal memberi kesan yang minima kepada hutan dan alam sekitar, setiap kuari yang mula beroperasi adalah disyaratkan supaya wajib mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal berkaitan terlebih dahulu. Di antara syarat-syarat yang dikenakan adalah seperti pematuhan Laporan Skim Kuari penyediaan Rancangan Pengurusan Kuari 10 Tahun dan pembinaan jalan pengeluaran berdasarkan Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan) 2018. Kuari-kuari berkenaan juga masih perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi berkaitan seperti pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 2012 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 sepanjang pengoperasian dijalankan.