Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

373) DASAR KEBAJIKAN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kelahiran bayi luar nikah di Negeri Selangor bagi tahun 2023 dan 2024? Berapakah kes pembuangan bayi yang dicatatkan di Negeri Selangor? Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mengatasi gejala ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendaftarkan setiap kelahiran yang diyakini berlaku di Malaysia tanpa mengira status kewarganegaran ibu dan bapa selaras dengan peruntukan seksyen 7, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), Seksyen 8, Ordinan Pendaftaran kelahiran dan Kematian Sabah (Cap 123) dan Seksyen 9, Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak (Cap 10).

    Dalam hal ini, istilah anak tak sah taraf yang digunakan oleh JPN adalah merujuk kepada kanak-kanak dilahirkan oleh pasangan tidak berkahwin dan pasangan tidak mendaftarkan perkahwinan mengikut peraturan dan undang-undang Malaysia yang berkuatkuasa. Bagi yang beragama Islam, anak yang dilahirkan tidak mencukupi enam bulan Qamariah dan dua lahzah daripada tarikh perkahwinan juga dikategorikan sebagai anak tak sah taraf.

    Statistik jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang telah didaftarkan di negeri Selangor pada tahun 2023 ialah sebanyak 3,026 kelahiran manakala bagi tahun 2024 ialah sebanyak 3,634 kelahiran. Perincian jumlah kelahiran anak tidak sah taraf mengikut daerah di Negeri Selangor seperti di Lampiran 1.

    Berdasarkan data yang diterima daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), statistik kes pembuangan bayi yang dicatatkan di Negeri Selangor bagi tahun 2023 dan 2024 adalah seperti berikut:

    BILANGAN KES BUANG BAYI
    TAHUN 2023 2024 JUMLAH
    JUMLAH 31 27 58

     

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program bagi mengatasi gejala kehamilan luar nikah. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

    1. Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak

    Kerajaan Negeri melalui JKM dan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan telah mengadakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak Negeri Selangor 30 November 2023 di tiga (3)  buah sekolah di Daerah Sepang. Program ini juga telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.  Bagi tahun 2024, JKM telah meneruskan program ini dengan ke 30 buah sekolah di semua Daerah dalam negeri Selangor.

    Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak dalam aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak yang mana antara pengisian program ini memberi pendedahan berkaitan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat serta Klik dengan Bijak.

    2. Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Kaunseling

    Perkhidmatan ini turut disediakan kepada ibu di bawah umur atau wanita yang mengandung luar nikah. Seramai 23 orang Pegawai Psikologi di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) sentiasa bersedia untuk membantu kanak-kanak dan ahli keluarga yang traumatik. Remaja dan wanita yang mengandung luar nikah juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling melalui Talian Kasih 15999 bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dalam aktiviti pembuangan bayi. Talian ini beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.

    3. Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan

    Pemerkasaan institusi kekeluargaan dilaksanakan bagi memastikan tiada pengabaian terhadap anak-anak yang menyebabkan berlakunya gejala yang tidak diingini. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan Program Digital Parenting yang bertujuan mendidik ibu bapa mengenai kaedah penggunaan teknologi digital yang selamat serta melindungi anak-anak daripada pengaruh media sosial yang tidak sihat. Selain itu, Program Terapi Minda: KASIH Keluarga Ceria bagi memastikan kesejahteraan keluarga menerusi pembangunan diri ibu bapa dan remaja. Sehingga Oktober 2024, seramai 700 orang peserta daripada kalangan ibu bapa dan remaja berusia 13 tahun ke atas telah mendapat manfaat daripada kedua-dua program ini.

    Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri akan melaksanakan sambutan Bulan Keluarga Selangor dengan LPPKN bagi mengadakan kempen pengukuhan institusi kekeluargaan. Selain itu, kempen keganasan berasaskan gender akan dilaksanakan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) pada sepanjang tahun 2025 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang keganasan rumah tangga dan gangguan seksual yang berlaku terutama kepada wanita dan remaja perempuan. Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan siri jelajah yang menyediakan pelbagai aktiviti pemerkasaan keluarga terutamanya dalam mengetengahkan peranan bapa dalam melindungi keluarga, kepentingan tanggungjawab bersama, pendidikan literasi digital untuk anak-anak dan sebagainya.