Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
112) Dasar Gated Dan Guarded
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Penggunaan kad akses (automatik) hanya boleh dibenarkan sekiranya penyertaan 100% penduduk atau difikirkan wajar mengikut kesesuaian PBT/PTD berkaitan bagi 'Guarded Community' untuk mengelakkan isu dan pemasalahan dikemudian hari. Adakah Kerajaan Negeri berniat untuk merendahkan syarat penyertaan dari 100% ke 80%?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengeluarkan Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2016 berkenaan Garis Panduan Skim Perumahan Berpengawal (Guarded Community) Di Negeri Selangor (Penambahbaikan 2016) yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai 1 September 2016.
Garis Panduan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 20/2016 bertarikh 15 Jun 2016 dan telah disahkan oleh MMKN Ke 21/2016 bertarikh 23 Jun 2016 bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang telah diluluskan oleh MMKN Ke 19/2010 pada 2 Jun 2010 dan disahkan oleh MMKN Ke 20/2010 pada 9 Jun 2010.
Antara perkara utama yang di buat penambahbaikan/ pindaan ke atas garis panduan tersebut adalah penggunaan Kad Akses (automatik) hanya boleh dibenarkan sekiranya penyertaan 100% penduduk atau difikirkan wajar mengikut kesesuaian PBT / PTD berkaitan bagi Skim ‘Guarded Community ‘untuk mengelakkan isu dan permasalahan dikemudian hari.
Berhubung pindaan syarat untuk menurunkan jumlah peratusan penyertaan penduduk daripada 100 peratus kepada 80 peratus boleh ditentukan oleh pihak PBT berkaitan di dalam skim komuniti berpengawal yang melibatkan penggunaan Kad Akses (automatik).
Sekiranya Persatuan Penduduk tidak berhasrat untuk menggunakan Kad Akses (automatik), Persatuan Penduduk hanya perlu persetujuan 75% penduduk sahaja daripada bilangan unit rumah yang berpenghuni (termasuk penyewa) atau peratusan lain yang difikirkan wajar mengikut kesesuaian PBT / PTD berkaitan bagi Skim Perumahan Berpengawal (‘Guarded Community’).
Untuk makluman Yang Berhormat juga, selain daripada Garis Panduan Dasar yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri, terdapat beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah mengeluarkan Garis Panduan terperinci berkenaan skim komuniti berpengawal mengikut kesesuaian masing-masing seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).