Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014
56) DASAR DAN PELAN TINDAKAN BASMI KEMISKINAN
Tahun: 2014
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar dan strategi kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat?
Bagi membasmi kemiskinan di kalangan rakyat negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan pelan yang dipanggil “Blue Print Membasmi Kemiskinan di Negeri Selangor.” Pelan ini telah disediakan pada tahun 2005 bagi memastikan 1.1 peratus warga Selangor hidup di bawah paras kemiskinan dan 0.5 peratus lagi yang dikategorikan termiskin. Sehingga ini pelan ini masih dijadikan rujukan dan panduan kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program-program pembasmian kemiskinan di negeri Selangor.
-
Nyatakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan negeri dalam usaha membasmi kemiskinan?
Seperti yang kita sedia maklum, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup golongan fakir miskin. Antara program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut :
- Program Bantuan Blueprint Kemiskinan
Program ini dilaksanakan dengan memberi bantuan kepada golongan miskin untuk meningkatkan pendapatan melalui pemberian barangbarang seperti mesin dan peralatan. Mesin dan peralatan ini diberikan supaya penerima yang terdiri daripada golongan miskin, dapat memulakan perniagaan kecil-kecilan untuk meningkatkan pendapatan penerima. Daripada tahun 2008 hingga 2013, peruntukan yang telah digunakan untuk program bantuan ini adalah sebanyak RM3,865,949.00.
- Program Kemahiran Teknikal Kerajaan Negeri Selangor bersama Kolej Antarabangsa INPENS
Program ini dilaksanakan dengan memberikan penajaan kos pembayaran yuran kepada pelajar-pelajar miskin yang diterima masuk ke Kolej Antarabangsa INPENS. Had pendapatan isi rumah yang layak memohon bantuan ini ialah sebanyak RM3,000.00 dan ke bawah. Jumlah tajaan yang diterima oleh seorang pelajar adalah sebanyak RM6,550 untuk satu tahap bersamaan dengan enam bulan tempoh pengajian. Daripada tahun 2008 hingga 2013, peruntukan yang telah digunakan untuk program ini adalah sebanyak RM7,329,063.00.
- Pemberian Bantuan Perayaan kepada Golongan Miskin
Bantuan ini diberikan dalam bentuk baucer yang berjumlah RM 100.00 kepada semua golongan miskin bagi meringankan beban mereka untuk membuat persediaan menyambut perayan masing – masing. Bantuan ini diberikan kepada semua ADUN. Daripada tahun 2008 hingga 2013, peruntukan yang telah digunakan untuk program ini adalah sebanyak RM8,984,977.00.