Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
74) DASAR BELIA SELANGOR 2020
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha-usaha yang telah dilaksanakan untuk merialisasikan Teras DBS 2020 setakat ini?
Kerajaan Negeri telah mewujudkan Dasar Belia Selangor 2020. Pembentukan Dasar Belia Negeri Selangor 2020 ini adalah perlu kerana dasar ini bertindak sebagai manual yang memandu hala tuju pembangunan belia di samping ia juga berfungsi sebagai penimbang tara kepada status program pembangunan belia semasa. Ini kerana, keupayaan program pembangunan belia bagi memacu belia sebagai rakan pembangunan adalah dicerminkan oleh dasar yang dipandu agar releven dalam situasi semasa yang menuju kepada kehidupan masa hadapan.
Terdapat 10 domain atau teras utama Dasar Belia Selangor 2020 sebagai panduan kepada Pembangunan Generasi Muda di Selangor iaitu Kepimpinan dan Literasi Politik, Hubungan Antarabangsa dan Pemikiran Global, Keusahawanan dan Ekonomi Digital, Pekerjaan dan Pembangunan Kemahiran, Pendidikan, Kebudayaan, Kreativiti dan Sukan, Keagamaan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Media Digital dan Sosial, Nasionalisme dan Patriotisme serta Keseimbangan Alam Sekitar.
Justeru itu, Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkasakan Generasi Muda Selangor dengan merangka dan menjalankan pelbagai inisiatif dan usaha berbentuk program berdasarkan kriteria 10 teras utama Dasar Belia Selangor. Ini dapat dizahirkan dengan penubuhan Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang bertindak sebagai ejen dan jentera pelaksana agenda Kerajaan Negeri dalam merealisasikan dasar – dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.
Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan bagi merealisasikan teras Dasar Belia Selangor adalah sebagaimana berikut :-
i) Kerajaan Negeri telah mewujudkan Unit Ekonomi Belia (UEB) yang diselaraskan oleh Penggerak Belia Selangor (PeBS) di bawah Teras Ekonomi. Unit ini bertujuan untuk menggalakkan penglibatan anak muda Selangor berkecimpung dalam sektor perniagaan. Sebagai contoh, perniagaan dalam sektor elektronik, pertanian, automotif dan lain-lain adalah sangat luas. Namun, capaian kepada golongan belia harus lebih fokus dan mendalam supaya anak tempatan diberikan peluang untuk menerokai bidang perniagaan. UEB ini juga akan menjadi ejen penerangan kepada masyarakat dan belia tentang inisiatif-inisiatif atau skim-skim untuk menjadi usahawan / perniagaan / pinjaman modal yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.
ii) Kerajaan Negeri juga sedang dalam perancangan bagi mewujudkan Inisiatif Bena Ihsan (Bena) yang akan berfokuskan kepada institusi keagamaan. Stigma masyarakat berhubung fungsi masjid-masjid dan rumah ibadah yang lain perlu digunakan semata-mata untuk tujuan ibadat khusus harus diketepikan. Melalui Bena, institusi keagamaan boleh dijadikan sebagai one stop centre bagi sebarang aktiviti kemasyarakatan. Masjid-masjid boleh merencana program fizikal seperti pertandingan bola sepak, sukan rakyat dan lain-lain. Ini bertujuan untuk mendekatkan masyarakat terutama golongan belia agar sentiasa dekat dengan masjid dan surau.
iii) Kerajaan Negeri turut memfokuskan kepada kepimpinan dan literasi politik di kalangan belia Selangor dengan mewujudkan Konvensyen Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan Kongres Belia Selangor. Kongres ini akan mengumpulkan semua pemegang taruh dalam pembangunan belia yang bertanggungjawab sebagai punca kuasa yang mewujudkan ekosistem yang menyokong kepada pendidikan dan pelaksanaan inisiatif ke arah belia Selangor yang celik politik, demokrasi dan kepimpinan.
iv) Golongan belia adalah kelompok utama rakan pembangunan masyarakat pada masa kini dan akan datang. Mereka perlu memahami dan menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan memimpin di pelbagai peringkat yang bersesuaian. Belia juga bakal mengisi majoriti pengundi muda dalam pilihanraya yang akan datang seiring dengan kelulusan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun yang akan mula dilaksanakan di Malaysia dan Selangor khususnya.
v) Kerajaan Negeri turut menekankan dari sudut kesukanan belia di Selangor kerana ianya merupakan antara aktiviti utama belia di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) turut menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan
sukan serta menaiktaraf dan membaikpulih Infrastruktur Sukan di Negeri Selangor selaras dengan keperluan semasa masyarakat.vi) Perkembangan dunia digital menjadikan Internet sebagai platform kepada media sosial yang mempengaruhi pelbagai golongan masyarakat khususnya belia. Melalui teras ini, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan telah menjalankan pelbagai Program Xtiv Virtual untuk Generasi Muda di Negeri Selangor.
Untuk makluman, Kerajaan Negeri tiada menyediakan peruntukan khusus untuk “Roll Out” Dasar Belia Selangor 2020. Namun begitu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bagi melaksanakan program-program pemerkasaan generasi muda sebanyak RM17,300,000.00 bagi tahun 2022.
-
Adakah kerajaan menyediakan peruntukan khusus untuk "Roll Out" DBS 2020?
Jawapan adalah sama seperti di atas (a)