Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

41) DASAR BELIA SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan pelaksanaan Dasar Belia Selangor 2020?

    Dasar Belia Selangor (DBS) 2020 mula dibangunkan pada 11 Ogos 2020 dan siap sepenuhnya pada 2 Ogos 2021. DBS ini seterusnya telah diluluskan di Dewan Negeri Selangor pada 9 Disember 2021 dan merupakan manual yang memandu hala tuju Pembangunan belia dan juga berfungsi sebagai penimbang tara kepada status program Pembangunan belia semasa.

    Melalui Dasar Belia Selangor, 10 domain utama telah diwujudkan. Justeru, program-program Pembangunan Generasi Muda yang dilaksanakan adalah berdasarkan domain-domain yang berikut:

    1. Kepimpinan dan Literasi Politik;
    2. Hubungan Antarabangsa dan Pemikiran Global;
    3. Keusahawanan dan Ekonomi Digital;
    4. Pekerjaan dan Pembangunan Kemahiran;
    5. Pendidikan;
    6. Kebudayaan, Kreativiti dan Sukan;
    7. Keagamaan, Kesihatan dan Kesejahteraan;
    8. Media Digital dan Sosial;
    9. Nasionalisme dan Patriotisme; serta
    10. Keseimbangan Alam Sekitar.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkasakan Generasi Muda Selangor dengan merangka dan menjalankan pelbagai inisiatif dan usaha berbentuk program dengan peruntukan sebanyak RM5,300,000.00 pada tahun 2022.

    Hala tuju Kerajaan Negeri dalam membangunkan belia di Selangor juga dizahirkan dengan penubuhan Penggerak Belia Selangor (PeBS. PeBS bertindak sebagai ejen dan jentera pelaksana agenda Kerajaan Negeri dalam merealisasikan dasar – dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi. Pada tahun 2022, sebanyak 159 program telah dilaksanakan oleh PeBS berdasarkan 10 domain tersebut seiring dengan keperluan, minat dan kehendak generasi muda masa kini dengan peruntukan sebanyak RM505,527.59.

    Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan juga turut mengadakan pelbagai program “mass approaches” yang melibatkan golongan generasi muda seperti :-

    1. Program Selangor XTiV Esport 2022;
    2. Program Ceria Atlet Selangor 2022;
    3. Program Piala Budak Kampung 2022;
    4. Program Selangor Martial Art XTiV (SMAX) 2022; dan
    5. Program Selangor Bypass Half Marathon 2022

    Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan program yang diberi nama Selangor Volunteer (SERVE). Program ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan bertujuan membentuk jentera sukarelawan untuk menyumbang bakti kepada komuniti dan Kerajaan Negeri dalam situasi kecemasan mahupun bencana alam. Penubuhan SERVE amatlah signifikan untuk memupuk masyarakat, khususnya anak muda terlibat dalam aktiviti sukarelawan dan memperkukuhkan jaringan komuniti, sekaligus berganding bahu bersama- sama dengan Kerajaan Negeri untuk sentiasa membantu komuniti yang terjejas.

    Program-program ini dirancang seiring dengan bidang (domain) yang dinyatakan di dalam DBS. Selain itu, program-program ini juga dapat memenuhi keperluan, kehendak dan minat anak muda masa kini untuk mengembangkan bakat dan kemahiran dalam bidang yang bersesuaian.

    Selain itu, bagi memastikan Dasar Belia Selangor terus kekal releven, Kerajaan Negeri sedang dalam peringkat akhir bagi penyediaan Pelan Pembangunan Belia Selangor atau singkatannya PPBS yang dilaksanakan dengan kerjasama pasukan penyelidik pakar daripada Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Ia merupakan inisiatif perancangan strategik Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan yang memfokuskan kepada pembangunan belia dalam bentuk Pelan Tindakan Jangka Panjang atau ‘Long- Term Action Plan’ yang lebih tersusun, realistik dan efektif di peringkat akar umbi.

  2. Adakah pihak Kerajaan akan menyediakan bantuan khusus kepada organisasi belia di Negeri Selangor yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Pertubuhan Belia?

    Untuk makluman, buat masa ini, Kerajaan Negeri tiada menyediakan bantuan khusus kepada organisasi belia di Negeri Selangor yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Pertubuhan Belia. Namun begitu, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan bantuan dalam bentuk  kerjasama atau ‘joint venture’ program-program pembangunan generasi muda di Selangor.

    Kerajaan Negeri juga sentiasa mengadakan kerjasama yang baik dengan persatuan-persatuan belia dan sukan di Negeri Selangor seperti Persatuan Sukan Elektronik Selangor (ESS), Malaysia Global Taekwondo Federation (MGTF), Kelab Sukan Bolasepak Klang Gate dan Pertubuhan Perintis Sukan Elektronik Selangor dalam melaksanakan program di bawah sepuluh (10) domain yang terdapat di dalam DSB 2020.

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000.00 setiap tahun yang dikhususkan sebagai sumbangan kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program-program yang melibatkan generasi muda ataupun belia di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.