Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

211) DASAR BAIK PULIH ATAU MEMPERKUKUHKAN BAN DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk memperkukuhkan semua ban atau ban-ban yang sering pecah?

    Secara keseluruhannya semua ban-ban dalam rezab Jabatan Pengairan dan Saliran di dalam negeri Selangor telah pun dimasukkan di dalam kerja-kerja penyelenggaraan setiap tahun oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran.

    Namun begitu ada kalanya terdapat kejadian-kejadian air pasang besar yang luar biasa dan bertembung dengan paras air sungai yang tinggi menyebabkan ban-ban ini runtuh kerana tidak mampu menerima bebanan serentak dari kedua-dua arah. JPS sentiasa memantau lokasi ban-ban yang berisiko untuk runtuh dan peruntukan pembangunan dipohon bagi menaiktaraf ban-ban yang berisiko ini. Pemantauan berkala di kawasan yang berisiko dibuat sebanyak 2 kali sebulan terutama semasa tempoh air pasang tinggi dan pemantauan 24 jam dibuat semasa hari kejadian air pasang tinggi.

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan juga melaksanakan program penanaman pokok bakau dengan kerjasama agensi-agensi lain. Program ini telah dijadikan sebagai program tahunan jabatan berkenaan. Selain itu, pelaksanaan pembaikan tebing dengan menggunakan teknik setempat seperti penggunaan batang kelapa/nibong juga dapat membantu mengurangkan kesan hakisan pantai akibat ombak.

     

  2. Apakah status tanah hak milik di luar kawasan ban terutamanya yang telah terhakis oleh sungai akibat hakisan dan sebagainya?

    Merujuk Seksyen 49 Kanun Tanah Negara, status tanah hak milik di luar kawasan ban terutamanya yang telah terhakis akan menjadi milik kerajaan seperti penjelasan berikut;

    Seksyen 49 KTN. Kesan maraan atau munduran laut, dll.

    Jika pinggir laut atau dasar mana-mana sungai mara sehingga mengaut mana- mana tanah berimilik, kawasan yang terjejas oleh perkautan itu hendaklah selepas itu terhenti dari menjadi sebahagian daripada tanah itu, dan hendaklah menjadi tanah Kerajaan; tetapi sempadan tanah berimilik itu tidaklah (kecuali dalam keadaan-keadaan yang disebutkan dalam perenggan (ii) bagi proviso kepada sub subseksyen (2) seksyen 353) terjejas oleh mundurnya pinggir laut atau dasar mana-mana sungai.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.