Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

20) DASAR ALAM SEKITAR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah visi jangka panjang Kerajaan Negeri Selangor mengenai pembangunan
    mampan yang seimbang antara ekonomi, alam sekitar dan kesihatan masyarakat?

    Konsep pembangunan mampan menekankan kepada pembangunan yang menyeluruh dengan turut mempertimbangkan impak terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. Kerajaan Negeri Selangor seharusnya mempunyai visi jangka panjang yang melibatkan keseimbangan dalam aspek ekonomi, alam sekitar dan kesihatan masyarakat. Beberapa aspek utama dalam visi pembangunan mampan Negeri Selangor adalah seperti berikut:

    1. Pembangunan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2022 -2025 telah mempamerkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan mampan dan rendah karbon serta mempunya visi yang jelas bagi membentuk landskap ekonomi yang berdaya tahan. Melalui RS-1 ini, ianya dapat  memperkukuhkan ekonomi negeri, meningkatkan kesejahteraan sosial serta memastikan kelestarian alam sekitar di Negeri Selangor. Penghasilan RS-1 memberi fokus kepada penciptaan peluang pekerjaan dan pelaburan dalam sektor-sektor yang berpotensi untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang sektor teknologi, inovasi dan industri digital.
    2. Kerajaan Negeri juga melihat kepada pertumbuhan ekonomi rendah karbon dan ekonomi hijau yang holistik melalui penyediaan dasar khusus yang menfokuskan kepada penggalakkan industri hijau, pengenalan inovasi teknologi rendah karbon dan memperkukuhkan sektor tenaga boleh diperbaharui. Ianya akan menjadi petunjuk keutamaan negeri dalam memastikan kelestarian tenaga, pemuliharaan alam sekitar dan peluang pelaburan jangka panjang. Landskap ini akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kedudukan fiskal yang kukuh melalui jaminan bekalan tenaga dan sumber daya saing yang mampan.
    3. Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan inisiatif pertumbuhan hijau dengan penglibatan Jabatan dan Agensi serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) dan meningkatkan kualiti alam sekitar untuk kesejahteraan masyarakat yang lebih baik. Pembangunan mekanisme dan dasar/polisi baharu yang berkaitan alam sekitar seperti pelaksanaan program kitar semula dan pengutipan E-Waste diwujudkan bagi mempertingkatkan pengurusan bahan buangan ini agar lebih teratur dan pelupusan yang betul dapat mengurangkan risiko kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.
  2. Bagaimana Kerajaan Negeri merancang untuk melibatkan komuniti dalam penggubalan dasar berkaitan alam sekitar?

    Penglibatan komuniti secara aktif dalam perancangan pengurusan alam sekitar dan setiap program serta inisiatif. Pendekatan ini akan mendorong komuniti untuk melaksanakan aktiviti pengurusan alam sekitar yang lebih baik, seperti yang dinyatakan dalam Dasar Alam Sekitar Negara dan Agenda 21 pembangunan mampan.

    Amalan Kerajaan Negeri sekarang dalam pembangunan dasar/polisi akan turut melibatkan komuniti secara langsung melalui kumpulan fokus, perbincangan awam dan input dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat seperti JMB dan Persatuan Penduduk. Dasar dan polisi yang dibangunkan dengan kerjasama komuniti akan lebih sesuai dengan konteks setempat dan lebih mudah diterima kerana ia mengambil kira perspektif penduduk.

    Kerajaan Negeri kini menggunakan pendekatan masyarakat bagi pemantauan dan laporan secara komuniti (Community-based Monitoring) di mana masyarakat boleh turut serta dalam memantau keadaan alam sekitar seperti kualiti udara dan air dengan menyalurkan aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ahli-Ahli Majlis dan Pejabat EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar. Aduan-aduan ini akan membantu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat. Antara pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam melibatkan komuniti dalam setiap perancangan dasar dan penganjuran aktiviti berkaitan alam sekitar adalah seperti berikut:

    • Pihak Kerajaan Negeri sentiasa melibatkan komuniti dan golongan belia dalam acara/program/inisiatif dan pembangunan dasar melalui sesi libat urus dan perkongsian maklumat. Ini dapat dilihat melalui penganjuran bengkel/sesi libat urus dalam penyediaan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim di peringkat Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dan taklimat berkaitan pelaksanaan pengurusan sumber air seperti Dasar Pelepasan Sifar (ZDP);
    • Masyarakat turut dilibatkan dalam setiap projek pembangunan terutamanya penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek-projek yang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kepada Alam Sekeliling) 2015. Masyarakat boleh mengemukakan pandangan dan menjalankan penilaian pematuhan pemaju terhadap keperluan EIA.
    • Mewujudkan pasukan/kumpulan khas seperti Rakan Alam Sekitar, Friends of River (FOR) dan Friends of Central Forest Spine (CFS) yang diwujudkan oleh Jabatan dan Agensi bagi menjalankan aktiviti konservasi dan menyalurkan maklumat berkaitan alam sekitar kepada Kerajaan Negeri.
    • Menyediakan platform untuk berkomunikasi, membolehkan perkongsian amalan terbaik, pengetahuan dan kepakaran serta kerjasama semua pihak dalam bidang berkaitan terutamanya pihak PBT, Jabatan/Agensi Negeri seperti Jabatan Alam Sekitar, institusi penyelidikan serta sektor swasta;
    • Menyediakan platform latihan/kemahiran terutamanya dalam persediaan menghadapi bencana termasuk sesi latihan pengurusan bencana, pertolongan cemas dan pengurusan tempat perlindungan. Ini dapat memastikan kesejahteraan jangka panjang untuk komuniti setempat;
    • Penglibatan komuniti dalam sesi libat urus untuk mengumpul input dan pandangan tentang kawasan yang terjejas bencana. Pendekatan berterusan ini membolehkan langkah-langkah kesiapsiagaan dapat dilaksanakan, berdasarkan input komuniti yang paling terjejas dan membantu pihak berkuasa menguruskan bencana dan menyediakan asas keperluan yang lebih sesuai;
    • Menggalakkan PBT, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menerajui program kesedaran awam yang melibatkan komuniti secara meluas bagi memupuk gaya hidup yang mesra alam dan meningkatkan tanggungjawab masyarakat umum mengenai penjagaan alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.