Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

76) DARUL EHSAN FACILITIES MANAGEMENT (DEFM) SDN BHD

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan bilangan aset/bangunan di bawah pengurusan DEFM dan kos penyelenggaraan pada tahun 2021.

    Fasiliti Di Bawah Pengurusan DEFM

    Pada tahun 2012, DEFM telah diberikan mandat oleh MMKN untuk menguruskan Kompleks Generasi Muda dan Sukan(KGMS) Seksyen 7. Sebelum 2012, Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan kos penyelenggaraan hampir RM 2 juta setiap tahun bagi memastikan Kompleks tersebut terus berfungsi. Sejak pengambilalihan pengurusan oleh pihak DEFM, pengurusan fasiliti KGMS dapat dilaksanakan tanpa dana Kerajaan Negeri hasil pengurusan cekap dan pengkomersialan beberapa kemudahan dalam Kompleks tersebut. KGMS kini menjadi hab perkhidmatan Kerajaan Negeri di mana ianya dihuni oleh Yayasan Anak Selangor (YAWAS), Hijrah Selangor dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS). Selain itu KGMS juga menjadi salah satu pusat aktiviti belia di negeri Selangor.

     

    Berdasarkan pencapaian ke atas KGMS tersebut, bermula 1 Jan. 2018 DEFM sekali lagi diberi mandat oleh MMKN untuk menguruskan Kompleks Sukan Shah Alam. Ini menjadikan fasiliti di bawah pengurusan DEFM adalah sebanyak 8 fasiliti merangkumi Kompleks Sukan Shah Alam dengan komponen Stadium Shah Alam, Stadium Malawati, Stadium Mini, Pusat Akuatik Darul Ehsan, Extreme Park, Lawn Bowl dan Tapak Parkir Stadium. Untuk makluman, jumlah kos penyelenggaraan Kompleks Sukan Shah Alam dan Kompleks Generasi Muda pada tahun 2021 adalah RM 4,103,752.00.

     

    Kos Penyelenggaraan

    Purata kos penyelenggaraan, baikpulih dan operasi Kompleks Sukan Shah Alam(KSSA) adalah RM4 Juta setahun yang disalurkan dalam betuk geran kepada pengurusan fasiliti terlibat. DEFM menguruskan KSSA sepanjang 2018 hingga 2022.  Bermakna kerajaan telah berbelanja RM56 Juta sejak tahun 2008 hingga 2022. Kerajaan Negeri juga terpaksa membayar tuntutan saman NAZA TTDI pada tahun 2020 bernilai RM40 juta terhadap Kerajaan Negeri disebabkan perjanjian “land swap”yang tidak setara nilai semasa pembinaan pada tahun 1994 di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

     

    2018 – 2022

    Sepanjang tempoh 2018 sehingga 2022, sebanyak RM 2.2 Juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih beberapa kemudahan seperti mengecat pagar stadium, pembersihan beam, naiktaraf tandas dan bumbung. Sebanyak RM 5.22 Juta juga telah dibelanjakan bagi penyelenggaraan berkala seperti permbersihan luar dan dalam stadium, perkhidmatan kawalan keselamatan, penyelenggaraan lif, penyelenggaraan padang dan kerja-kerja eletrik serta sivil sepanjang tempoh tersebut.

  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan taraf infrastruktur sukan?

    Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA)

    Pada 15 Julai 2022, Dato’ Seri Menteri Besar Selangor telah mengumumkan garis masa rancangan pembangunan KSSA. Bentuk pembangunan akan dibentangkan pada September 2022 setelah perbincangan dengan semua pemegang taruh yang berkaitan selesai antaranya, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), MBSA, Pejabat Tanah dan Galian(PTG), Selangor FC, DEFM dan Kerajaan Negeri sendiri. Pada peringkat ini, input dari setiap pemegang taruh akan dijadikan komponen kepada pembangunan KSSA bagi memastikan projek ini dapat memberi manfaat kepada pembangunan sukan Selangor, bola sepak Selangor dan komuniti. Projek pembangunan dijangka akan bermula paka suku pertama 2023 dan siap sepenuhnya pada tahun 2026. Ini bermakna rakyat Selangor akan mendapat kemudahan Kompleks Sukan Shah Alam yang baru menjelang 2026.

Lampiran

Tiada Lampiran.