Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

233) DANA MIKRO KREDIT DAN IKS

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perincian mengenai kesemua institusi mikrokredit dan skim perusahaan kecil dan sederhana Kerajaan Negeri termasuk objektif; industri tumpuan; jenis intervensi; pencapaian berbanding sasaran sejak penubuhan dari segi bilangan penerima, jumlah kredit, kadar pembayaran semula dan sebagainya

    Kerajaan Negeri Selangor mempunyai dua (2) jenis bantuan kepada usahawan di dalam Negeri Selangor. HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan berperingkat bermula tahun 2015.  Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010.  Ia merupakan satu sistem pengeluaran modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan.  Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat tertentu.  Sehingga kini sebanyak 32,146 peminjam yang telah menerima manfaat daripada program ini.  Pinjaman ini difokuskan kepada tiga (3) sektor utama iaitu pembekalan, pemakanan dan perkhidmatan.  Namun terdapat sektor lain yang membuat pinjaman ini iaitu pertanian, penternakan dan pemprosesan.

    Dalam merangka kaedah pengurusan dan pelaksanaan skim HIJRAH Selangor, objektif-objektif berikut dikenalpasti sebagai matlamat program.

    • Menawarkan modal tambahan yang mudah, cepat dan tidak membebankan.
    • Menggalakkan budaya menabung di kalangan penjaja dan peniaga kecil.
    • Mewujudkan rangkaian usahawan yang operasional.
    • Membina usahawan yang berwawasan dan berdaya saing serta berkemahiran dan juga proaktif.
    • Mewujudkan peluang-peluang perniagaan yang baharu.
    • Melahirkan Usahawan baharu di kalangan rakyat yang berpendapatan rendah

    Pinjaman mikrokredit HIJRAH Selangor adalah untuk penjaja dan peniaga kecil sahaja. Jenis-jenis perniagaan berikut dikenalpasti sebagai layak untuk menyertai program ini.

    1. Gerai Tetap

    Seperti gerai pasar, gerai menjual makanan dan minuman, gerai menjual barang-barang keperluan harian dan lain-lain.

    1. Kedai Tetap

    Seperti kedai runcit, restoran dan kedai-kedai yang menjual barangan seperti pakaian, pinggan mangkuk, keperluan dan perkakasan dapur, kraftangan dan perhiasan, ubat-ubatan tradisional dan lain-lain.

    • Perniagaan Perkhidmatan

    Seperti perniagaan yang menyediakan perkhidmatan jahitan, salon rambut/kecantikan, studio gambar, kerja kimpalan, bengkel motor, mekanik radio/tv, membaiki alat-alat eletrik, pengiklanan dan membuat papan tanda, membaiki kasut, jam dan lain-lain.

    1. Perkhidmatan Pengangkutan

    Seperti pengusaha lori kecil, teksi, kereta sewa dan lain-lain.  Mempunyai Permit Sah atas Nama Pemohon.

    1. Gerai Bergerak

    Seperti pasar malam, pasar tani, pekan sehari dan lain-lain.

    1. Aktiviti Pertanian, Perikanan dan Penternakan

    Seperti sayuran, buah-buahan, tanaman bunga dan pokok, hasil laut, ikan, udang, sotong, ternakan untuk daging dan tenusu dan haiwan peliharaan.

    Bilangan penerima adalah sebanyak 32,146 orang dengan jumlah pinjaman sebanyak RM 237,751,500.00.  Setakat ini mengikut rekod, kadar bayaran balik pinjaman HIJRAH Selangor adalah 82.14%.  Sasaran pinjaman mikrokredit HIJRAH Selangor adalah sebanyak 56,000 orang menjelang tahun 2018.

    Selain itu di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor ada menyediakan Dana Usahawan Mikro Selangor yang memberikan had nilai bantuan sehingga RM30,000.00 berbentuk pembelian peralatan/mesin/perkakasan, meningkatkan kualiti premis,pembiayaan kos untuk pembangunan produk dan pensijilan dan lain-lain keperluan nilai tambah yang mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di Negeri Selangor.  Bantuan ini diberikan kepada semua jenis perusahaan kecuali pertanian dan perusahaan mestilah telah 2 tahun beroperasi. Sehingga tahun 2017, sebanyak 580 orang usahawan telah menerima bantuan ini.  Setiap tahun dianggarkan 100 usahawan akan menerima bantuan ini. Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor sedang dalam perbincangan bersama Institut Darul Ehsan untuk menilai keberkesanan bantuan ini terhadap usahawan di Negeri Selangor

Lampiran

Tiada Lampiran.