Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

164) DAKWAAN PENGUATKUASAAN TIDAK BERHEMAH

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sudah puluhan tahun dua keluarga India tinggal di atas tapak tanah kerajaan di Kampung Kuala Ampang tanpa menerima notis pindah. Dua minggu lalu rumah-rumah tempat mereka tinggal telah dirobohkan secara tidak berhemah. Sila jelaskan.

    Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak melaksanakan sebarang kerja-kerja meroboh di Kampung Kuala Ampang. Walau bagaimanapun, MPAJ telah menerima surat daripada Balai Polis Hulu Kelang dan beberapa aduan daripada orang awam berkenaan struktur kediaman di atas tanah kerajaan di hadapan pintu masuk SMK Hulu Kelang. Hasil semakan mendapati sebuah rumah didirikan tanpa kebenaran di atas tanah rezab sungai merujuk kepada guna tanah Rancangan Tempatan (RT) MPAJ (Pengubahan 2) 2020. Notis daripada Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ pernah dikeluarkan kepada pemilik rumah pada tahun 2019. Terkini, surat peringatan kesalahan telah dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar MPAJ memohon agar pemilik rumah mengambil tindakan sewajarnya atas kesalahan pembangunan yang bertentangan dengan RT MPAJ.

     

    Rentetan daripada surat peringatan tersebut, Puan Tamil Selvi iaitu anak kepada pemilik rumah telah memberi maklum balas bersama bukti pemilikan kediaman namun ianya tidak sah. Beliau kemudiannya mengemukakan surat rayuan bertarikh 12 Ogos 2022 memohon tempoh penangguhan satu (1) tahun bagi kerja-kerja merobohkan sendiri rumah berkenaan. MPAJ bersetuju dengan permohonan tersebut melalui surat bertarikh 6 September 2022 yang memberi tempoh penangguhan meroboh 12 bulan bermula dari tarikh surat dikeluarkan. Cadangan juga diberikan kepada pemilik rumah untuk mendapatkan bantuan perumahan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

     

     

     

    Hasil lawatan tapak pada 1 Disember 2022 mendapati rumah tersebut telah dirobohkan sendiri oleh pemilik dengan tinggalan sisa binaan di tapak. Tiada sebarang operasi meroboh dilakukan oleh MPAJ selaras dengan rayuan yang dikemukakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.