Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
36) CUKAI TANAH BERGANDA DI TAMAN BUKIT SEMENYIH
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Mengapa sebahagian pemilik rumah Fasa 3 Taman Bukit Semenyih perlu membayar dua cukai tanah untuk sebuah rumah kediaman di samping cukai taksiran tahunan?
Pada asalnya, Taman Bukit Semenyih wujud melalui pembangunan yang dibuat secara berfasa oleh Syarikat Brighton Properties Sdn. Bhd. yang merangkumi tiga (3) lot iaitu Lot 2013, Lot 2014 dan Lot 2200 seperti dalam pelan di Lampiran A. Isu yang diutarakan adalah 1 lot rumah mempunyai 2 hakmilik (2 cukai). Perkara ini timbul kerana pemaju membuat permohonan tukar syarat di bawah Seksyen 124A Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan kemudiannya baru dipecah sempadan di bawah Seksyen 137
Hasil daripada pecahan lot ini, telah melibatkan satu (1) lot rumah terletak dalam dua (2) lot besar tadi. Apabila dikeluarkan hakmilik, maka pembeli akan menerima dua (2) hakmilik bagi satu (1) lot rumah yang dibeli. Pihak pemaju sepatutnya mengemukakan permohonan cantuman lot bagi lot-lot yang berkenaan sebelum urusan pindahmilik kepada pembeli, walau bagaimanapun tiada tindakan di pihak pemaju mengenai perkara tersebut.
Sehubungan itu, bagi mengelakkan isu pemilik membayar dua (2) cukai tanah untuk sebuah rumah kediaman, PTG Selangor mengesyorkan supaya pemilik kediaman mengemukakan permohonan cantuman lot ke Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Langat.
-
Bagaimana Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dapat menyelaraskan cukai tersebut yang dilihat tidak adil kepada mereka?
Bagi menyelaras isu tersebut, PTG Selangor telah membuat penolakan ke atas semua permohonan pembangunan tanah yang melibatkan lot-lot yang tidak lengkap berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah dan Sumber Alam Bilangan 8/ 2005 bertarikh 20 Disember 2005. Sehubungan itu, pemilik atau pemaju tanah dikehendaki membuat pencantuman tanah dengan lot bersebelahan terlebih dahulu atau
mencantumkan dengan lot bersebelahan yang akan dibangunkan menjadi satu lot lengkap.