Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
306) CUKAI PINTU UNTUK RUMAH KAMPUNG
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rasional Kerajaan Negeri untuk tidak lagi memberi pengecualian cukai pintu untuk rumah-rumah kampung secara automatik dan berapakah jumlah penjimatan yang disasarkan?
Mulai 1 Januari 2024, pemberian pengecualian cukai taksiran kediaman kampung adalah diberikan secara bersasar. Sebelum ini, ia diberikan secara automatik selama tempoh lapan (8) tahun dengan jumlah keseluruhan RM91.49 juta yang melibatkan 745,790 unit rumah.
Pelaksanaan ini adalah berikutan daripada keperluan untuk memastikan inisiatif ini dinikmati oleh golongan yang berkelayakan dan memerlukan serta berada dalam lingkungan berpendapatan rendah. Perubahan kepadatan penduduk di kawasan kampung juga dilihat semula berikutan sosio ekonomi yang telah berubah mengambil kira jenis dan lokasi kediaman yang tidak terancang. Oleh itu, pemilik yang layak sahaja diberikan pengecualian tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan seperti berikut:
a) Pemilik pegangan yang mempunyai keluasan kurang dari 2,000 kaki persegi sahaja;
b) Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di negeri Selangor;
c) Pendapatan bulanan isi rumah adalah RM5,000.00 dan ke bawah (bagi yang telah berkahwin, ini adalah termasuk pendapatan pasangan yang bukan merupakan warganegara);
d) Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun atau satu rumah sahaja; dan
e) Hanya pemilik harta yang berdaftar sahaja boleh memohon.Hasil cukai yang dikutip adalah bagi menampung kos pembersihan dan kutipan sampah PBT yang meningkat. Namun, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat dan terus membantu golongan yang memerlukan dan berpendapatan rendah.