Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
162) CUKAI PINTU/ FI LESEN PENJAJA
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Merujuk jawapan mulut tentang program Iltizam Selangor Penyayang di sesi lepas, cukai pintu dan fi lesen penjaja yang telah dikemaskini semula, mengapakah pengecualian ini ditarik balik?
Kebanyakan kawasan kampung di Negeri Selangor terutamanya di kawasan Lembah Klang kini dikelilingi dengan kawasan-kawasan pembangunan bandar yang pesat. Perubahan kepadatan di kawasan kampung dan kedudukan ekonomi penduduk-penduduk kampung juga dilihat telah berubah. Contohnya rumah-rumah kampung di bandar seperti di kawasan MPAJ khususnya telah dijadikan rumah teres atau rumah banglo bertingkat atau rumah sewa. Selain itu, dengan pertumbuhan kawasan perniagaan dan kawasan industri yang berhampiran dengan kawasan-kawasan kampung, harga hartanah di kawasan kampung telah meningkat. Ianya menjadi cabaran kepada PBT dalam menyampaikan perkhidmatan dengan hasil yang terhad di kawasan tersebut.
Oleh yang demikian, faktor-faktor yang dinyatakan adalah diantara rasional pihak Kerajaan Negeri dalam mempertimbangkan semula pemberian cukai secara automatik kepada rumah kos rendah dan rumah kampung. Kerajaan Negeri meluluskan pengecualian cukai secara automatik kepada rumah kos rendah sahaja namun diberikan secara bersasar kepada rumah kampung mulai tahun 2024.
Bagi pengecualian fi lesen penjaja, usaha Kerajaan Negeri dan PBT Negeri Selangor untuk membantu golongan ini telah memberi manfaat secara langsung kepada mereka untuk menjana pendapatan. Namun, inisiatif ini telah dilaksanakan selama lapan (8) tahun iaitu dari tahun 2016 sehingga 2023 adalah merupakan tempoh yang cukup matang bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.
Antara rasional untuk menamatkan pengecualian fi lesen ini adalah kerana bantuan untuk meringankan beban rayat yang berniaga secara kecil-kecilan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara telah berakhir dan kini ekonomi semakin pulih susulan daripada pembukaan sektor ekonomi secara penuh.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa pengecualian fi lesen penjaja ini wajar ditamatkan bagi membantu meluaskan sumber peningkatan hasil PBT Negeri Selangor yang juga dapat mengurangkan kebergantungan PBT kepada kewangan Kerajaan Negeri. Anggaran Kehilangan Hasil PBT Negeri Selangor daripada pelaksanaan pengecualian cukai taksiran dan fi lesen penjaja di PBT bagi tahun 2016 hingga tahun 2023 adalah sebanyak RM546.65 juta.
-
Adakah masih ada pengecualian bersasar diadakan bagi mereka-mereka yang layak diberikan pengecualian?
Pemegang harta (pemilik kediaman kampung) yang menepati syarat-syarat kelayakan untuk mendapatkan pengecualian masih akan menerima pengecualian cukai taksiran pada tahun 2024 berdasarkan syarat-syarat seperti berikut:
i) Pemilik pegangan yang mempunyai keluasan kurang dari 2,000 kaki persegi sahaja;
ii) Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di negeri Selangor;
iii) Pendapatan bulanan isi rumah adalah RM5,000.00 dan ke bawah (bagi yang telah berkahwin, ini adalah termasuk pendapatan pasangan yang bukan merupakan warganegara);
iv) Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun atau satu rumah sahaja; dan
v) Hanya pemilik harta yang berdaftar sahaja boleh memohon.