Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

198) CUKAI HIBURAN UNTUK KUMPULAN TEATER DAN MUZIK TEMPATAN

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri merancang untuk hapuskan cukai hiburan untuk aktiviti kebudayaan tempatan seperti pementasan teater, muzik dan lain-lain memandangkan kumpulan artis telah mengalami tekanan yang sangat berat dalam tempoh masa dua tahun COVID-19?

    Dewan Rakyat pada 10 Mei 2001, telah meluluskan ketetapan pengenaan Duti Hiburan pada kadar dua puluh lima peratus (25%) ke atas setiap bayaran masuk ke mana-mana hiburan berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2001.

    Selanjutnya, Menteri Kewangan selaku Pemungut Duti Hiburan telah menetapkan pengurangan pembayaran Duti Hiburan kepada lima peratus (5%) ke atas setiap bayaran masuk bagi aktiviti kesenian atau pementasan artis tempatan dan luar negara berkuatkuasa mulai 30 Jun 2006.

    Walau bagaimanapun, Mesyuarat Kewangan Negara yang bersidang pada 22 Mei 2020 telah bersetuju untuk membatalkan Perintah Duti Hiburan (Pengecualian) (No. 24) 2006 – Warta Kerajaan P.U.(A) 251 di mana membenarkan Kerajaan-Kerajaan Negeri mengutip hasil Duti Hiburan sepenuhnya pada kadar dua puluh lima peratus (25%) ke atas aktiviti kesenian atau pementasan artis tempatan dan luar negara selaras dengan Bahagian III, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.

    Susulan daripada keputusan tersebut, Mesyuarat MMKN Ke 3/2021 yang bersidang pada 27 Januari 2021 telah bersetuju untuk:

    i. Melaksanakan kutipan Duti Hiburan pada kadar lima belas peratus (15%) ke atas aktiviti kesenian atau pementasan artis tempatan mulai 1 Januari 2021; dan
    ii. Melaksanakan kutipan Duti Hiburan pada kadar dua puluh lima peratus (25%) ke atas aktiviti kesenian atau pementasan artis luar negara mulai 1 Januari 2021.

  2. Sila beri sebab-sebab keputusan tersebut diambil.

    Semasa Sesi Perbincangan Dialog Belanjawan Tahun 2021 yang telah diadakan pada 7 September 2020, Kerajaan Negeri telah mendengar isu dan masalah yang dihadapi serta potensi penggiat seni tempatan khususnya di Negeri Selangor. Justeru itu, keputusan pengurangan kadar Duti Hiburan kepada lima belas peratus (15%) ini diambil bagi membantu penggiat seni/ artis tempatan meningkatkan produktiviti, kualiti serta daya saing dengan artis luar negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.