Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
257) COVID-19
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah dan perancangan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mencegah penularan COVID-19 di sektor perkilangan?
Langkah-langkah dan perancangan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mencegah penularan COVID-19 di sektor perkilangan adalah seperti berikut:-
- Kerajaan Negeri telah melaksanakan program Preventing Outbreak at Ignition Site (POIS) iaitu saringan di semua kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster serta perebakan wabak Covid-19 dan bertujuan untuk memutuskan rantaian wabak di tempat kerja. Program ini telah dilaksanakan pada 29 Januari 2021 dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM);
- Bermula pada 25 Jun 2021, Kerajaan Negeri melalui semua PBT Negeri Selangor telah menyertai operasi bersepadu iaitu OPS Patuh yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan yang lain antaranya seperti pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dan Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP), Jabatan Imigresen dan Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) secara harian dan berterusan ke atas premis-premis kilang; dan
- Semua PBT Negeri Selangor melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan melalui Tindakan Penguatkuasaan Pematuhan Standard Operation Procedure (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke atas premis kilang di kawasaan perindustrian dan komersil di kawasan PBT masing-masing sejak bulan Mac 2020 sehingga kini yang dikenali sebagai Tindakan Penguatkuasaan Pelan Pemulihan Negara – SOP Fasa 1 (Covid 19).