Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

200) COVID-19

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah hasil kejayaan penubuhan dari taskforce jawatankuasa tangani COVID di Negeri Selangor?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan daripada Sijangkang (N51) No. 132 (a), Sungai Panjang (N03) No.138 (a) (b), Sungai Burung (N08) No.141 (b), Rawang (N14) No.143 (a), Sungai Air Tawar (N01) No.163 (a), Bukit Melawati (N10) No. 170 (a), Jeram (N12) No.200 (a), Pelabuhan Klang (N46) No.239 (c) dan Meru (N42) No.247.

    Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, memahami bahawa Negeri Selangor sentiasa mencatatkan kadar harian Covid-19 yang tinggi, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan Selangor Task Force COVID-19 (STFC) pada 12 Mac 2020. STFC berperanan sebagai badan pemikir bertujuan membantu Kerajaan Negeri dalam menangani pandemik Covid-19 dengan mencadangkan tindakan dan langkah yang boleh diambil melalui cadangan polisi kepada Kerajaan Negeri. Melalui penubuhan STFC, Kerajaan Negeri dapat complement kepada usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam menangani penularan Covid-19 di Negeri Selangor.

    Melalui penubuhan STFC, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi membantu Kerajaan Negeri dan JKNS dalam mengawal penularan Covid-19.  Inisiatif – inisiatif adalah seperti berikut:

     

    1. Pembangunan aplikasi SELangkah yang merupakan aplikasi penjejakan kontak (contact tracing) menggunakan data taburan pesakit melalui Artificial Intelligence (AI) dalam menawarkan kemudahan peta risiko wabak secara anonymous bagi memberi maklumat awal lingkung kawasan di mana kebarangkalian transmisi jangkitan Covid-19 adalah tinggi bagi pengetahuan dan tindakan para pengguna. Fungsi ini telah diorientasi bagi melengkapi fungsi yang tiada di dalam MySejahtera.
    2. Membangunkan garis panduan / Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikenali sebagai Sistem Tahap Amaran bagi pelbagai sektor termasuk sektor ekonomi (perniagaan, pasar malam), sektor sosial termasuk rumah ibadat. Sistem ini telah dirangka berdasarkan kod warna sesuatu lokaliti di dalam sesebuah kawasan mengikut jumlah penularan kes positif Covid-19.
    3. Menggerakkan program saringan Covid-19 secara bersasar kepada golongan yang berisiko tinggi dan di kawasan zon merah di seluruh Negeri Selangor pada tahun 2020. Usaha ini diteruskan pada tahun 2021 melalui pelaksanaan saringan ke peringkat komuniti secara percuma di kesemua 56 DUN yang dijalankan dengan kerjasama Pegawai Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan agensi berkaitan. Langkah ini telah berjaya mengesan kes positif COVID-19 terutama di kalangan pembawa senyap, iaitu golongan yang tidak bergejala. Inisiatif ini adalah berasaskan strategi FTTIS iaitu Find, Test, Trace, Isolate and Support seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
    4. Selari dengan status negeri termaju di Malaysia, pengawalan wabak Covid-19 di sektor perindustrian dan tempat kerja adalah penting bagi memastikan kelangsungan ekonomi terus terpelihara. Justeru, program Prevention of Outbreak At Ignition Sites (POIS) telah diperkenalkan pada awal tahun 2021. POIS merupakan satu langkah pemerkasaan pihak majikan secara sukarela dari industri / kilang yang merupakan penyumbang terbesar kluster kes Covid-19 di Negeri Selangor.  Saringan yang dibiayai sendiri oleh pihak industri ini merupakan langkah mitigasi disamping memberi panduan kepada majikan untuk mencegah penularan Covid-19 di kalangan pekerja dan menghalang penularan ke dalam komuniti.
    5. Pasukan STFC juga telah mencadangkan penubuhan sebuah rapid response team yang diterjemahkan melalui penubuhan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA). SUKA berperanan sebagai pasukan advokasi berkaitan kesihatan awam kepada warga Selangor termasuk perkara berkaitan pengurusan Covid-19. Ini turut boleh meningkatkan kerjasama dan peglibatan orang awam dalam menangani Covid-19.
    6. Pelaksanaan Program Vaksin Selangor (SELVAX) yang bertujuan bagi mencapai imuniti kelompok warga Selangor terutamanya cadangan vaksinasi kepada petugas hadapan sektor ekonomi (economic frontliner).
  2. Bagaimanakah kerajaan membantu penduduk berkeluarga yang terjejas tidak ada pendapatan kerana COVID-19 bagi mendapatkan bantuan barangan makanan basah dan bantuan perubatan? sumber peruntukan ADUN tidak cukup.

    Kerajaan Negeri sedar ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19. Sebahagian besar punca kehilangan pekerjaan ini adalah berpunca daripada sekatan dan penutupan sebahagian sektor perniagaan. Kerajaan sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan terlalu buruk ke atas ekonomi yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat. Untuk itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan penggunaan peruntukan mesra rakyat Ahli Dewan Negeri, Ahli Parlimen dan MPKK bagi tujuan pemberian bakul makanan. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)  turut memberi bantuan bakul makanan kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta pekerja dan pemandu lori KDEB.

     

    Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor dalam mengenalpasti individu yang memerlukan serta layak untuk diberikan bantuan yang dikendalikan oleh mereka.  Selain bantuan berbentuk one off, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan bantuan keusahawanan dan digitalisasi seperti yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor. Beberapa inisiatif telah ditawarkan termasuk pinjaman kewangan untuk memulakan perniagaan seperti pinjaman Hijrah dan program-program lain seperti Skim Niaga Darul Ehsan, Go Digital, Selangor Freelance, Rakan Digital Selangor, Selangor Advance dan Data Internet Selangor. Perniagaan alternatif yang diwujudkan secara atas talian adalah sektor perniagaan yang berkemampuan untuk membina semula kehidupan penduduk terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.