Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

299) CLIMATE ACTIONS PLAN (CAP)

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bilakah Kerajaan Negeri akan menggubal Climate Actions Plan (CAP) di peringkat Kerajaan Tempatan memandangkan cara kehidupan dan cara bekerja di dalam sesebuah komuniti boleh menyumbang kepada usaha mengurangkan impak perubahan iklim? Bolehkah Kerajaan Negeri menyatakan langkah strategik yang sedang diambil untuk menjamin sustainability dan mengurangkan pelepasan karbon dalam komuniti sebagai panduan kepada pengguna dan pemaju?

    Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau telah menjalankan Kajian Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM) yang bertujuan untuk mengenal pasti tindakan bersepadu yang perlu diambil bagi mencapai pembangunan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan memenuhi aspirasi Negeri Selangor sebagai negeri pintar, makmur dan berdaya huni. Tempoh pelaksanaan kajian ini adalah selama tujuh (7) bulan bermula 1 Disember 2022 hingga 30 Jun 2023. Bagi menjadikan kajian ini lebih inklusif, pihak perunding sedang melaksanakan pengumpulan data dan kajian perintis tambahan bagi sembilan (9) kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor yang lain. Hasil kajian ini akan dibentangkan dalam Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR dijangka pada Disember 2023 seterusnya mendapatkan pandangan dan idea serta mandat untuk meneruskan dengan dasar yang lebih inklusif iaitu Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor.

     

    Hasil kajian ini bertumpukan kepada tindakan bagi memperkukuhkan pelaksanaan pembangunan negeri dengan mengambil kira pelbagai aspek perubahan iklim khususnya berkaitan adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana iklim. Tiga (3) lokasi telah dipilih berdasarkan elemen geografi muka bumi dan risiko bencana sebagai kajian perintis iaitu kawasan Kuala Selangor yang menumpukan kepada aspek kawasan persisiran pantai, Shah Alam pula kawasan berisiko banjir kilat dan Ampang Jaya sebagai kawasan berisiko tanah runtuh. Antara hasil kajian yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut:

     

    • Mengutamakan pembangunan pelan pengurusan dan daftar risiko bencana PBT sebagai langkah pertama untuk membuat keputusan dan meningkatkan keyakinan pelabur asing;

     

    • Mengutamakan pemacu transformasi di peringkat PBT iaitu tadbir urus inklusif, kewangan berinovasi, sains, teknologi dan inovasi (STI), pembangunan keupayaan dan penglibatan pihak berkepentingan khususnya masyarakat tempatan dan sektor swasta;

     

    • Mengenalpasti tindakan adaptasi berasaskan senario impak sebagai asas perancangan guna tanah bagi menangani pelbagai bahaya baharu muncul serta mengurangkan kerugian dan kerosakan; dan

     

    • Meningkatkan keusahawanan sosial yang memberi tumpuan kepada belia dan wanita untuk meningkatkan kesedaran dan menggerakkan masyarakat ke arah daya tahan bencana dan gaya hidup mesra alam.

     

    Seterusnya, bahaya risiko bencana turut dikenalpasti iaitu bahaya banjir, kenaikan paras air laut, keterdedahan risiko kepada infrastruktur kritikal seperti fasiliti hospital, sekolah dan rumah-rumah ibadat.

     

    Susulan daripada hasil kajian ini, penggubalan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor akan dilaksanakan seawal Mac 2024 dan membolehkan tindakan pelaksanaan secara bersepadu yang selari dengan dasar-dasar sedia ada negara seperti Dasar Teknologi Hijau Negara, Dasar Perubahan Iklim Negara, Dasar Sumber Air Negara, Dasar Biodiversiti Negara dan Pelan Induk Bandar Karbon Rendah. Ia juga akan mengambil kira pelbagai dasar dan pelan tindakan dengan unsur berkaitan perubahan iklim di Negeri Selangor termasuk yang terkandung di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2025 dan Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035. Pendekatan berperingkat akan dilaksanakan bagi menyelaras usaha adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana memandangkan bahawa hampir kesemua insiden bencana yang berlaku pada tahap negeri, bandar, daerah dan mukim adalah berkaitan dengan pengaruh iklim.

     

    Pada masa sekarang, pelbagai inisiatif dan program sedang dilaksanakan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dengan mendokong ‘Matlamat Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030’ bagi mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) menjelang 2030. Antara program yang dilaksanakan di bawah PBT seperti berikut:

     

    • Pelan Tindakan Rendah Karbon oleh 12 PBT Negeri Selangor;
    • Program Penanaman Pokok;
    • Program Kempen Bebas Beg Plastik;
    • Program Rivers For Life Sempena Hari Sungai Sedunia;
    • Program Penyerahan Tong Kitar Semula;
    • Program Kebun Komuniti;
    • Projek Pemasangan Solar; dan
    • Pembangunan Kemudahan Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik.

     

    Antara langkah-langkah strategik yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah:

     

    • Membangun dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) yang merangkumi sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal yang menyeluruh seperti loji Waste-To-Energy (WTE) dan loji kitar semula;
    • Pembinaan infrastruktur dan naiktaraf kerja-kerja pendalaman sungai, tampungan sungai dan kolam;
    • Pengurusan air yang efisyen dan kaedah pembersihan serta pemuliharaan sumber air negeri Selangor;
    • Pembangunan mekanisme pelaporan karbon dan pelan/rangka kerja rendah karbon diperingkat negeri dan PBT;
    • Pengurusan hutan dan memastikan pengekalan kawasan litupan hijau tidak kurang dari 30%; dan
    • Komited dalam menyokong dan menggalakkan penganjuran kempen-kempen kesedaran dan sesi perkongsian maklumat berkaitan penjagaan alam sekitar oleh PBT dan Jabatan/Agensi Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.