Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

35) CERUN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan lokasi yang menghadapi masalah kegagalan cerun.

    Berdasarkan rekod dari tahun 2017 pembaikan cerun di jalan JKR, lokasi yang sering menghadapi kegagalan cerun adalah di jalan seperti berikut:

    1. Jalan Gombak – Bentong Lama (FT68), Gombak.
    2. Jalan Kuala Kubu – GAP (FT55), Hulu Selangor.
    3. Jalan Ampang – Hulu Langat(B62), Hulu Langat.
    4. Jalan Sg. Lalang (B19), Hulu Langat.
    5. Jalan Bukit Peras (B32), Hulu Langat.
    6. Jalan Kuala Kerling (B78), Hulu Selangor.
  2. Apakah faktor yang menyebabkan kegagalan cerun?

    Secara amnya terdapat 5 perkara asas yang mempengaruhi kestabilan cerun.

    1. Jenis tanah.
    2. Geometri kecerunan tanah.
    3. Air (kadar resapan & aras air bawah tanah).
    4. Penyelenggaraan cerun.
    5. Aktiviti haram di atas permukaan cerun yang tidak terkawal.

     

    Kebanyakan kes kegagalan cerun yang berlaku adalah akibat daripada salah satu atau semua aktiviti di atas atau perubahan terhadap perkara-perkara tersebut tanpa tindakan awalan.

    Contohnya seperti, aktiviti kerja tanah tidak terancang iaitu tidak mengikut kaedah kejuruteraan semasa pembinaan, penyelenggaraan cerun yang tidak menyeluruh serta faktor cuaca iaitu penerimaan taburan hujan yang tinggi  menyebabkan keadaan asal cerun merosot (deteriorate) dan gagal.

    Antara faktor lain yang juga boleh menyebabkan kegagalan cerun adalah apabila berlaku kerosakan utiliti paip air dan kumbahan di atas cerun.

  3. Bagaimanakah Kerajaan Negeri mengatasi masalah tersebut?

    Pembangunan Di Lereng Bukit/Kawasan Cerun – Buat masa ini Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan JKTPKSAS yang dipengerusikan JPBD yang ahli-ahlinya terdiri daripada agensi-agensi teknikal untuk menilai kesesuaian dan impak pembangunan di kawasan bercerun dan tanah tinggi di peringkat perancangan, dengan kawalan pelaksanaan dikuatkuasakan oleh jurutera profesional semasa pembinaan dan tanggungjawab penyelenggaraan adalah di bawah bidang kuasa PBT.

    Bagi Cerun Jalan pula, Kerajaan Selangor boleh mempertimbangkan cadangan melaksanakan ‘’Risk and Hazard Map’’ Pemetaan Risiko Dan Bahaya bagi jalan-jalan di seluruh Selangor sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Ibu Pejabat JKR Malaysia. Pemetaan ini adalah bertujuan bagi pemgumpulan data-data untuk menentukan lokasi-lokasi cerun jalan yang perlu diambil perhatian untuk pembaikan dan Pencegahan.

    Bagi memastikan keaadan cerun jalan berada dalam keadaan selamat, penyelenggaraan cerun perlu dilakukan secara berkala.

Lampiran

Tiada Lampiran.