Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

214) CARUMAN TABUNG ANAK WARISAN SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 2008, tempoh simpanan selama 18 tahun dengan nilai matang simpanan berjumlah RM1,500.00 seorang. Adakah Kerajaan Negeri ada kemampuan untuk menunaikan program ini menjelang 2026 nanti? Bagaimana?

    Berdasarkan rekod, jumlah ahli berdaftar dengan Skim TAWAS bermula tahun 2008 sehingga tahun 2018 adalah seramai 365,920 orang di mana pembayaran pertama Skim TAWAS adalah pada tahun 2026 dengan jumlah anggaran peruntukan sebanyak RM32,019,000.00. Maklumat jumlah ahli berdaftar dengan Skim TAWAS adalah seperti berikut :-

     

    Pada masa ini, Geran Kerajaan Negeri yang telah diluluskan untuk diasingkan bagi menampung Skim TAWAS adalah berjumlah RM242.5 juta. Penyaluran akan dibuat berperingkat secara tahunan bermula tahun 2016 sehingga tahun 2025 (10 tahun) kepada sebuah Akaun Amanah yang diwujudkan khusus bagi tujuan pembayaran manfaat Skim TAWAS di masa hadapan. Sehingga tahun 2023, jumlah peruntukan yang telah diasingkan bagi pembayaran manfaat Skim TAWAS kepada Akaun Amanah khas tersebut adalah berjumlah RM182.50 juta. Ini menjadikan baki geran yang belum disalurkan adalah sebanyak RM60 juta.

    Akaun Amanah khusus tersebut dikenali sebagai Tabung Amanah Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan telah diwujudkan pada tahun 2015 dengan tujuan mengasingkan sebahagian wang perolehan, keuntungan dan lebihan yang ada untuk digunakan oleh generasi akan datang khususnya bagi manfaat skim TAWAS. Pada peringkat awal, dana Akaun Amanah TAWAS ini telah dilaburkan dalam pasaran ekuiti dan sukuk bagi tujuan menambah pendapatan.

    Bermula pada tahun 2020, dana TAWAS berjumlah RM188 juta telah dilaburkan dalam mandat pengurusan khusus di bawah pengurusan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) menerusi Program Inisiatif Selangor Advance dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa ke-2 Tahun 2020. Pelaburan ini dijangka dapat memberi pulangan pelaburan yang lebih baik dan stabil berbanding pelaburan dalam bentuk instrumen ekuiti yang berkait secara langsung dengan risiko pasaran ekuiti.

    Objektif pelaburan adalah bersifat jangka panjang seperti kemapanan kaedah pengurusan pelaburan agar dana yang diperuntukkan untuk Skim TAWAS dijadikan pelaburan pokok dapat menjana pulangan, di samping mengekalkan pokok pelaburan pada akhir tempoh matang pelaburan.

    Nilai pelaburan dana TAWAS pada 31 Januari 2023 telah meningkat kepada RM211.04 juta berbanding geran terkumpul Kerajaan Negeri yang telah disalurkan sebanyak RM182.50 juta. Ini adalah bersamaan dengan peningkatan nilai sebanyak RM28.54 juta.

    Secara keseluruhannya, jumlah anggaran keseluruhan manfaat Skim TAWAS yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM548.88 juta. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri sentiasa dari semasa ke semasa meneliti keperluan kewangan bagi memastikan komitmen pembayaran Skim TAWAS dapat dipenuhi pada tahun-tahun kewangan yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.