Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

369) CARUMAN PARIT

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri dapat mengecualikan caruman parit bagi permohonan dari pihak sekolah?

    Selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor Bilangan 5/2015 telah memutuskan supaya tiada lagi pengecualian caruman parit diberikan walaupun melibatkan tanah yang berkeluasan kurang daripada satu (1) ekar. Susulan daripada keputusan tersebut, pemakaian caruman parit dikenakan ke atas semua permohonan pembangunan tanah yang terlibat dengan pelupusan secara pemberimilikan tanah dan mengubah syarat tanah Kerajaan untuk semua kategori kegunaan tanah termasuk permohonan pembangunan bagi pendirian sekolah.

  2. Nyatakan sebab-sebab jika tidak.

    Pengecualian caruman parit ini tidak diberikan kepada mana-mana permohonan pembangunan tanah adalah bagi mematuhi Arahan Amanah Bagi Akaun Amanah Caruman Parit Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, Akta Tatacara Kewangan 1957 Penubuhan dan Arahan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 9 yang menjelaskan tujuan akaun amanah ini ditubuhkan. Pengenaan caruman parit kepada semua permohonan pembangunan tanah juga adalah bagi meningkatkan sumber hasil Kerajaan Negeri agar faedah daripadanya dapat diberikan kepada pemaju dan pemilik tanah melalui kerja-kerja penaiktarafan sistem saliran, kejuruteraan sungai, tebatan banjir, hidrologi, ramalan banjir dan kerja-kerja lain yang berkaitan. Kawalan dan penguatkuasaan ke atas pembangunan tanah tanpa kelulusan turut dapat dibuat dengan lebih efisien.

Lampiran

Tiada Lampiran.