Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
58) CAJ PEMBANGUNAN KEPADA PEMAJU
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah caj pembangunan Selangor dicaj kepada pihak pemaju dan adakah caj pembangunan disimpan oleh pihak Kerajaan Tempatan sahaja?
Caj pemajuan akan dikenakan kepada pemilik tanah apabila permohonan Kebenaran Merancang Pelan Pembangunan dikemukakan kepada PBT untuk kelulusan. Pengenaan Caj Pemajuan adalah tertakluk kepada pemajuan bagi pembangunan yang telah mempunyai Rancangan Tempatan yang telah diwartakan. Sebagaimana disebut di bawah Seksyen 32(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) bahawa ; “Jika sesuatu rancangan tempatan atau sesuatu pengubahan rancangan tempatan mengakibatkan suatu perubahan penggunaan, ketumpatan, atau luas lantai berkenaan dengan mana-mana tanah sehingga menaikkan nilai tanah itu, suatu caj pemajuan hendaklah dilevi berkenaan dengan mana-mana pemajuan tanah yang dimulakan, diusahakan, atau dijalankan mengikut perubahan itu.”
-
Apakah jenis perkara yang boleh dimanfaatkan melalui tabung yang menggumpulkan caj pembangunan oleh pihak pemaju?
Tabung Kumpulan Wang caj pemajuan di PBT dimanfaatkan dengan pembangunan awam seperti menaiktaraf dewan Majlis, membaik pulih padang-padang awam dan membaik pulih infrastruktur di kawasan PBT. Kelulusan penggunaan wang dari tabung kumpulan amanah caj pemajuan ini perlu disahkan terlebih dahulu di dalam Mesyuarat Tabung Amanah caj pemajuan di PBT sebelum ia dilaksanakan.
-
Adakah masih terdapat dana caj pembangunan yang terkumpul di bawah DUN Bandar Utama? Sekiranya ya, sila senaraikan.
Setakat ini, tiada dana caj pembangunan yang terkumpul di bawah DUN Bandar Utama.