Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019
206) CAJ BEG PLASTIK
Tahun: 2019
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan dasar yang akan direka jika ada, bagi memulangkan caj beg plastik sebanyak RM0.20 kepada Kerajaan Negeri?
Kerajaan Negeri melalui kempen #Bebasplastik pada masa ini mengenakan kutipan caj bagi setiap beg plastik bagi tujuan pendidikan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai bahaya beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan. Caj ini dikenakan oleh peniaga-peniaga di premis-premis perniagaan yang menyediakan beg plastik khususnya dalam skala yang besar kepada pengguna, seperti di pasar raya, super mart, pasar raya mini dan sebagainya.
Kerajaan Negeri pada ketika ini sedang mengkaji dan dalam proses menyelaras dasar baharu berkenaan kutipan caj beg plastik yang dikenakan oleh para peniaga kepada pengguna. Dasar baharu ini akan menetapkan kutipan caj beg plastik ini agar diserahkan kepada pihak Kerajaan Negeri untuk digunakan bagi tujuan aktiviti dan program berkaitan alam sekitar. Penyelarasan semula kutipan ini juga adalah bertujuan untuk memastikan hasil kutipan dimanfaatkan bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan lebih berkesan dan diyakini.