Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
137) CADANGAN PEMBINAAN KOMPLEKS SUKAN BELIA DI DENGKIL
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Adhif Syan Bin Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah terdapat rancangan untuk membina lebih banyak kompleks sukan belia di kawasan memerlukan dan padat dan kurang infrastruktur seumpamanya seperti di Dengkil?
SEKSYEN SEKTORAL, UPEN
Kerajaan Negeri mengambil maklum dan sentiasa peka dengan keperluan kemudahan sukan termasuk kompleks sukan dalam usaha untuk menaikkan martabat dan memajukan sukan di Negeri ini. Namun begitu, buat masa ini, Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk membina kompleks sukan belia di Dengkil.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000.00 kepada setiap DUN bagi projek menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan sukan di peringkat DUN yang mana permohonan bagi projek ini boleh dikemukakan melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT). Kemudahan-kemudahan ini boleh dibaikpulih untuk digunakan oleh masyarakat setempat bagi menjalankan aktiviti riadah dan bersukan dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat yang aktif dan sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat dan juga dijadikan sebagai tumpuan rekreasi anak muda. Berikutan, pada tahun 2018 Kerajaan Negeri telah meluluskan 2 projek di DUN Dengkil sebanyak RM79,470.00 iaitu Kerja-kerja Membaikpulih di Padang Futsal dan kerja-kerja lain yang berkaitan di Kg. Dato’ Abu Bakar Baginda, Mukim Dengkil, Daerah Sepang dan Kerja-Kerja Membaikpulih Padang Futsal dan kerja-kerja lain yang berkaitan di Kg. Limau Manis, Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menggalakkan lagi belia, khususnya di kawasan pedalaman dan kampung-kampung, agar mereka lebih berminat dalam sukan?
SEKSYEN SEKTORAL UPEN
Kerajaan Negeri amat prihatin serta menyediakan insentif yang mencukupi untuk pembangunan sukan bagi golongan belia sebagai salah satu langkah untuk menggalakkan golongan belia khususnya di kawasan pedalaman dan kampung-kampung dengan menyediakan kemudahan sukan serta meningkatkan mutu sukan terutamanya di kalangan generasi muda dalam menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti kesukanan.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan 33 Dataran Anak Muda yang sekaligus boleh dijadikan gelanggang serbaguna di 33 buah DUN di seluruh Negeri Selangor. Gelanggang serbaguna ini sesuai untuk aktiviti dan sukan belia setempat seperti permainan bola sepak, sepak takraw, badminton, bola jaring, bola tampar, futsal dan sebagainya.
Seterusnya, sukan merupakan salah satu teras yang terkandung dalam Dasar Belia Selangor dan sentiasa mendapat sambutan di kalangan belia. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di setiap daerah dan zon sentiasa mengadakan program-program berbentuk kesukanan bagi menggalakkan lebih ramai golongan belia menyertainya seperti Program Karnival Sukan Rakyat, Program Sukaneka Mesra Rakyat, Pertandingan Badminton, Program Jelajah Komuniti Sihat dan Program Mountain bike Cycling Challenge.
Selain daripada itu, pada tahun 2018, Kerajaan Negeri telah mengadakan Program Pesta Sukan Gen–S 2018 di Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor 2018 yang merupakan salah satu program kerjasama dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mana Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000.00 kepada setiap PBT dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM240,000.00 untuk menganjurkan program ini. Melalui penganjuran tersebut, sebanyak 12 PBT telah menyahut seruan dan berjaya melaksanakannya di peringkat PBT masing-masing dan akan menyertai Program Grand Finale Selangor Plus 2018 akan datang. Sebanyak 4 jenis sukan yang akan dipertandingkan iaitu futsal, bola jaring, bola keranjang dan sepak takraw. Melalui program seperti ini turut menggalakkan golongan belia khususnya di kawasan pedalaman dan kampung-kampung untuk menyertainya.
MAJLIS SUKAN NEGERI SELANGOR
Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor telah dan sedang melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan para belia atau generasi muda berkecimpung dalam bidang sukan. Pelbagai program kesukanan telah dirancang sepanjang tahun melalui Pembangunan Generasi Muda untuk menarik minat golongan belia khususnya untuk bersama-sama terlibat dalam program sukan yang diadakan.
Antara program tahunan yang dijalankan adalah Pesta Sukan Gen-S iaitu melibatkan beberapa sukan yang dipertandingkan seperti bola keranjang, futsal, bola jaring dan sepak takraw. Dengan adanya penganjuran pesta sukan seperti ini, ianya dapat menarik minat golongan generasi muda untuk berkecimpung dalam sukan-sukan ini di peringkat komuniti masing-masing.
Terkini, Negeri Selangor juga telah menjadi negeri pertama yang membangunkan sukan e-sports iaitu Selangor Cybergames yang telah memasuki edisi ke 5 pada tahun 2018 ini. Melalui program seumpama ini, ianya dilihat banyak penyertaan terutamanya dari golongan generasi muda yang meminati sukan cyber ini. Selain itu juga, pihak Majlis Sukan Negeri Selangor menganjurkan kejohanan sukan seperti Sukan Selangor (SUKSES) dan Karnival Sukan Pusat Latihan Daerah (PLMSD) bagi kategori remaja.