Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

49) CADANGAN LEBUHRAYA PJD LINK

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Status terkini cadangan lebuhraya PJD link sekiranya ada.

    Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung projek PJD Link telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 12 November 2021 untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri secara bersyarat yang mana antara lain PJD Link (M) Sdn. Bhd. (PJDLSB) perlu memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah syarat-syarat duluan Perjanjian Konsesi.

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang dalam perundingan di peringkat akhir penyediaan perjanjian konsesi.  Walaupun perjanjian konsesi telah ditandatangai kelak, pihak syarikat konsesi masih perlu memenuhi syarat-syarat duluan yang ditetapkan di dalam perjanjian konsesi tersebut dalam tempoh 12 bulan dengan opsyen tambahan selama 3 bulan sebelum perjanjian konsesi tersebut berkuatkuasa sepenuhnya.

     

    Suka juga saya maklumkan di sini, bahawa Kerajaan Negeri Selangor melalui PLANMalaysia@Selangor (JPBD Selangor), telah membentangkan Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor di dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 9 Februari 2022 dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke 5 / 2022 yang diadakan pada 9 Februari 2022 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke 6 / 2022 pada 16 Februari 2022 telah menimbang dan meluluskan perkara-perkara berikut:

    1. Bersetuju dengan Carta Alir Proses/Ulasan/Input/Sokongan Kerajaan Negeri dalam Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor dengan pindaan berikut:

     

    1. Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan Traffic Impact Assessment (TIA) dibentangkan serta rundingan teknikal di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) di bawa ke peringkat 6 (Rundingan) bagi permohonan secara solicited dan dibawa ke peringkat 9A (rundingan teknikal) bagi permohonan secara unsolicited. Permohonan Rundingan 20A (muktamad) atau Kebenaran Merancang di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) akan ditentukan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES);

     

    1. Penyelesaian Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 dibuat selepas perjanjian konsesi ditandatangani dan berkuat kuasa;

     

    1. EIA, SIA, TIA dan Rundingan Teknikal di bawah Seksyen 20A, Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dijadikan sebagai asas pertimbangan Kerajaan Negeri Selangor untuk meneruskan projek projek lebuhraya dan infrastruktur utama;

     

    1. Penyelesaian tanah di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960, serta Permohonan Rundingan 20A (muktamad) atau Kebenaran Merancang di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) akan diselesaikan setelah perjanjian konsesi berkuat kuasa berdasarkan klausa yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi; dan

     

    1. Proses pengambilan tanah di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 hendaklah diselesaikan oleh pihak konsesi sehingga hak milik sambungan dikeluarkan.

    Bersetuju agar cadangan proses pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor secara solicited dan unsolicited dibentangkan terlebih dahulu kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya untuk ulasan, sebelum dibentangkan di dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) berdasarkan Carta Alir yang telah disediakan;

     

    iii.        Mengambil maklum Opsyen-opsyen yang akan digunakan bagi peringkat penyelesaian Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) iaitu:

    Opsyen 1: Selesai keseluruhan pengambilan tanah di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960;

    Opsyen 2: Selesai pengeluaran Borang K (selesai 75% pengambilan tanah) di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960; dan

    Opsyen 3: Selesai pewartaan pengambilan tanah setelah mendapat kelulusan Menteri Besar di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960.

    iv. Bersetuju menggunakan Opsyen 2 iaitu Selesai Pengeluaran Borang K (selesai 75% pengambilan tanah) di bawah Seksyen 8, AKta Pengambilan Tanah 1960 bagi peringkat penyelesaian Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486);

    v. Bersetuju projek-projek lebuhraya dan infrastruktur utama di Negeri Selangor di peringkat perancangan yang telah diluluskan oleh EXCO MTES, perlu melalui proses rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancang Bandar dan Desa (Akta 172) atau Proses Kebenaran Merancang;

    vi.  Bersetuju projek-projek lebuhraya dan infrastruktur utama di Negeri Selangor dalam peringkat perancangan yang telah diluluskan oleh EXCO MTES, dibuat pengubahan kepada Rancangan Tempatan tersebut, perlu dibiayai oleh pemaju/ penggerak projek; dan

    vii.       Bersetuju agar pihak Kementerian/ Jabatan/ Agensi yang berkaitan memaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri terlebih dahulu bagi sebarang perancangan pembangunan lebuhraya dan infrastruktur utama yang ingin dilaksanakan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.