Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
28) CADANGAN LEBUHRAYA PJD LINK
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status cadangan pembinaan lebuhraya PJD Link di Petaling Jaya?
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan bahawa cadangan pembinaan lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) di Petaling Jaya pada masa ini sedang dalam proses rundingan antara pihak Kerajaan Persekutuan dengan pihak syarikat pencadang bagi tujuan pelaksanaan projek PJD Link.
-
Apa kelulusan yang sudah diberi kepada syarikat?
Terdahulu, cadangan penswastaan projek Lebuhraya PJD Link telah dimaklumkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos 2017 dan cadangan ini dipersetujui secara prinsip oleh Jemaah Menteri melalui kaedah Bina-Kendali-Pindah (BOT) tertakluk kepada rundingan lanjut mengenai cadangan teknikal dan kewangan projek. Kerajaan Persekutuan juga telah menetapkan bahawa rundingan dengan syarikat hanya boleh dimulakan selepas pihak syarikat mendapat kelulusan dasar daripada Kerajaan Negeri Selangor mengenai cadangan pelaksanaan projek ini.
Sepertimana yang dimaklumi, Kerajaan Negeri Selangor melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 34/2020 pada 30 September 2020 telah mengambil maklum pembentangan projek daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkenaan Cadangan Projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).
MMKN dalam mesyuarat yang sama telah menimbang dan bersetuju secara dasar dengan cadangan projek PJD Link dan telah menetapkan syarat-syarat seperti berikut:
- Projek PJD Link ini dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172);
- Pihak konsesi perlu melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment) dan Kajian Impak Sosial (Social Impact Assessment) bagi pelaksanaan projek ini, termasuk mengadakan sesi public engagement bersama penduduk setempat yang terlibat dalam jajaran yang dicadangkan;
- Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi penyelarasan pembinaan Projek PJD Link dengan pembangunan yang telah diluluskan di peringkat MBPJ di kawasan rizab sungai;
- Pindaan kepada Rancangan Tempatan Petaling Jaya perlu dilaksanakan dengan adanya pembinaan Projek PJD Link ini;
- Proses pengambilan balik tanah hendaklah diselesaikan terlebih dahulu; dan
- Penyelenggaraan sungai diserahkan kepada pihak konsesi, memandangkan 2.5 km daripada jajaran lebuhraya ini berada di atas rizab sungai dengan pembinaan maksimum sehingga ke sempadan rizab sungai.
Kesemua syarat yang telah disenaraikan di atas perlu dilaksanakan / diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembinaan lebuhraya ini dapat dimulakan oleh syarikat konsesi. Syarat-syarat ini telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi mengelakkan isu-isu seperti urusan tanah yang masih belum selesai yang membelenggu projek-projek lebuhraya sedia ada serta bantahan penduduk setempat terhadap jajaran lebuhraya yang melalui kawasan kediaman.
-
Apa kelulusan yang belum diberi, tetapi diperlukan oleh syarikat sebelum pembinaan dapat mula?
Pihak syarikat perlu mendapatkan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri bagi tujuan untuk menandatangani perjanjian konsesi sebelum pembinaan dapat dimulakan. Perincian berkenaan syarat-syarat dan terma-terma perjanjian konsesi sedang dirundingkan di peringkat Kerajaan Persekutuan, melibatkan agensi-agensi seperti Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan (MOF) dan LLM.