Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
79) CADANGAN KAWASAN SIMPANAN AIR TERAWAT BAWAH TANAH
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kerajaan negeri mempunyai pelan jangka masa panjang untuk membina kawasan simpanan air terawat bawah tanah seperti Empangan Bukit Dumbar di Pulau Pinang?
Berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara (2000-2050), jumlah taburan hujan tahunan di Negeri Selangor adalah sebanyak 2,190mm manakala jumlah air larian permukaan adalah sebanyak 6.38 billion meter padu setahun bersamaan dengan 17,000 juta liter sehari (JLH) setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi. Ini bermakna, Negeri Selangor masih lagi mempunyai 9,168 JLH air larian permukaan yang masih belum dimanfaatkan. Ini termasuklah air di dalam kolam tadahan banjir dan bekas lombong yang mana sebahagiannya terus mengalir ke laut.
Negeri Selangor mempunyai jumlah air mentah yang mencukupi berdasarkan kepada data-data yang ditunjukkan di atas dan mempunyai potensi yang besar untuk memanfaatkan penggunaan air larian di hiliran sungai sebagai sumber air terawat tanpa membiarkan ia terbuang begitu sahaja.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk melaksanakan Pembangunan kolam takungan melalui konsep Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) sebagai sumber air terawat untuk menakung air larian di hiliran sungai. Pembangunan takungan air larian di hiliran sungai boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap tidak membazir kepada sumber air sedia ada dan pada masa yang sama memupuk semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan sungai-sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air mereka.
Melalui kajian yang telah dibuat, Projek HORAS dianggarkan berupaya membekalkan sebanyak 600JLH air mentah. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor belum bercadang untuk menggunakan air bawah tanah sebagai sumber air mentah.
-
Berapa kos yang diperlukan untuk membina kawasan air terawat bawah tanah tersebut?
Sama seperti di SUB (a)