Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
308) CABARAN SKIM MIKRO KREDIT MISKIN BANDAR (MiMBAR)
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Antara cabaran MiMBAR adalah memastikan peserta melunaskan pinjaman yang diberi. Nyatakan secara terperinci prosedur bayaran balik pinjaman?
Tempoh pembayaran semula pinjaman MiMBAR Selangor adalah selama 18 bulan bermula dari bulan kedua selepas pembiayaan dimasukkan. Pelbagai kaedah diberikan kepada peserta bagi melancarkan dan mempermudahkan urusan bayaran semula kepada MIMBAR Selangor. Antara prosedur pembayaran semula pinjaman adalah:
- Pemotongan bayaran balik melalui Arahan Tetap Bank (Standing Instruction) Pemotongan secara bulanan melalui Arahan Tetap Bank yang dipersetujui oleh peserta adalah kaedah yang wajib dikenakan ke atas semua peserta yang telah berjaya diluluskan pinjamannya. Melalui kaedah bayaran balik setiap bulan adalah lebih konsisten dan terjamin selain dapat menjimatkan masa peserta dan pegawai operasi.
- Pemantauan dan kutipan
Pemantauan terhadap peserta dibahagikan mengikut zon kawasan bagi setiap pegawai. Setiap peserta yang telah diluluskan pinjamannya akan dipantau dari segi perniagaan yang dijalankan dan corak bayaran balik mereka. Peserta yang kurang berdisiplin dalam pembayaran balik melalui potongan arahan tetap bank akan didekati dengan kaedah pembayaran secara manual iaitu melalui pegawai operasi. Kaedah ini akan disesuaikan mengikut masa dan kemampuan peserta yang menjadikan peserta kurang rasa terikat dan tidak perlu untuk ke bank setiap bulan.
- Pembayaran semula di pejabat
Terdapat juga peserta yang suka untuk membuat bayaran di pejabat kerana dengan cara ini mereka berpeluang lebih cepat mengetahui informasi dan program terkini yang disediakan oleh MiMBAR Selangor mahupun kerajaan negeri.
- Operasi turun padang
Pada setiap bulan, MiMBAR Selangor akan mengkaji corak bayaran balik peserta sama ada melalui bank mahupun manual. Apabila melihatkan corak ini berubah dengan drastik pada satu-satu masa atau bukan bermusim, operasi turun padang besar-besaran akan dilakukan oleh semua kakitangan. Pada ketika ini, MiMBAR Selangor akan memberi lebih perhatian kepada mereka yang liat, bermasalah dan tegar dalam membuat pembayaran. Peserta akan diingatkan tentang baki pinjaman dan keperluan mereka untuk melunaskan pinjaman sebagai tanggungjawab kendiri. Pada masa ini juga, bagi peserta yang benar-benar mengalami masalah yang kritikal, boleh berbincang dengan pegawai operasi sama ada untuk membuat penangguhan bayaran atau menjadual semula pembayaran mereka.
-
Apakah tindakan yang dikenakan kepada peminjam yang tidak membayar semula pinjaman?
Setiap rekod pembayaran semula sama ada melalui potongan arahan tetap (Standing Instruction) bank atau kutipan secara manual dapat dilihat oleh pegawai operasi setiap zon bagi memastikan rekod bayaran mereka setiap bulan adalah konsisten. Walau bagaimanapun, sudah menjadi lumrah seorang peniaga yang berhadapan dengan pelbagai risiko perniagaan. Ia secara tidak langsung kadangkala peminjam ini akan rasa sedikit bebanan untuk membayar semula pinjaman pada bulan tertentu. Oleh itu, di sinilah pegawai operasi akan memainkan peranan mereka bagi menjalankan kutipan. Antara langkah yang akan dilakukan adalah:
- Menelefon / Meninggalkan pesanan ringkas kepada peserta
Langkah ini adalah sebagai langkah awal untuk mengingatkan semula bayaran balik mereka bagi tempoh yang telah tertunggak. Sekiranya pegawai kutipan tidak dapat bercakap dengan peminjam, khidmat pesanan ringkas (SMS) akan diberikan bersama butiran lengkap.
- Memantau perniagaan peminjam
Pegawai operasi akan menjalankan pemantauan sama ada secara terangterangan ataupun tidak bagi melihat prestasi perniagaan pada tempoh tersebut. Kebarangkalian peserta menghadapi masalah perniagaan dapat dilihat melalui pemantauan tersebut.
- Berjumpa dan berbincang
Sekiranya perniagaan dianggarkan berada di dalam prestasi yang baik, pegawai MiMBAR Selangor akan cuba berbincang dengan peminjam perihal permasalahan yang dihadapi mereka dalam hal pembayaran semula. Perbincangan ini akan membawa kepada prosedur atau langkah bersesuaian yang perlu diambil.
- Penjadualan semula pembayaran balik pinjaman
Bagi peserta yang benar-benar mengalami masalah berat, mereka boleh berbincang untuk membuat penjadualan semula bayaran balik mengikut kepada kemampuan mereka sehingga stabil semula. Penjadualan semula ini dibenarkan setelah dikenalpasti permasalahan yang dihadapi peserta.
- Surat peringatan
Langkah yang lebih tegas akan dikeluarkan oleh MiMBAR Selangor terhadap mereka yang tegar dan tidak mengendahkan bayaran balik pinjaman. Surat peringatan akan dikeluarkan dan ditinggalkan di premis atau kediaman mereka sekiranya mereka sukar dihubungi dan diajak berjumpa. Surat peringatan ini merangkumi jumlah pinjaman yang telah dibiayai, jumlah yang perlu dilunaskan setiap bulan dan baki bayaran. Surat peringatan ini biasanya adalah untuk mereka yang benar-benar bermasalah.
- Kerjasama ketua masyarakat
MiMBAR Selangor juga menggunakan pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat iaitu dengan melakukan perbincangan dan membawa serta pimpinan masyarakat di setiap kawasan seperti pengerusi penduduk, qariah masjid, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pihak lain yang lebih dekat dengan masyarakat setempat mereka. Kaedah digunapakai supaya dapat mengenalpasti masyarakat setempat yang bermasalah dan meminta bantuan mereka untuk mendekati dan berbincang dengan peserta yang bermasalah agar dapat melunaskan pinjaman mereka.
- Kempen bayaran balik
Kempen bayaran balik turut giat dijalankan bagi memberi kesedaran kepada peminjam. Kempen ini dilakukan dengan pelbagai kaedah di serata kawasan.