Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

99) CABARAN PEMIKIRAN GHULUW (MELAMPAU)

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pemikiran Ghuluw (Melampau) yang telah berada di dalam masyarakat. Apakah pendekatan Kerajaan Negeri untuk membanteras pemikiran Ghuluw (Melampau) ini?

    Ghuluw ialah istilah bahasa Arab yang bermaksud berlebihan atau ekstrem. Dalam konteks agama Islam, guluw merujuk pada sikap atau tindakan yang melampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. la merangkumi pelbagai bentuk seperti berlebihan dalam ibadah, fanatisme dalam beragama juga memuja atau menyanjung berlebihan.

    Kesan ghuluw dapat memberi kesan negatif dalam pelbagai aspek kehidupan individu dan masyarakat iaitu berlaku ketidak seimbangan dalam kehidupan, fanatisme dan tidak bertoleransi, menarik diri dari interaksi sosial, stres dan tekanan mental, penolakan terhadap kemajuan dan inovasi serta kerosakan kepada persepsi dan pandangan terhadap agama.

    Bagi membenteras pemikiran ghuluw ini, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan memberi penekanan prinsip wasatiyyah dalam kalangan umat Islam di negeri ini. Wasatiyyah ialah istilah dalam bahasa Arab yang bermaksud moderate atau pertengahan. Dalam konteks Islam, wasatiyyah merujuk pada pendekatan yang seimbang dalam menjalani kehidupan, beribadah serta berinteraksi dengan orang lain. Konsep ini menekankan pentingnya menghindari sikap ekstrem atau taasub membabi buta baik dalam beragama atau melaksanakan agama Islam sebagai cara hidup.

    Prinsip wasatiyyah mencakupi beberapa aspek penting iaitu keseimbangan dalam ibadah dan kehidupan duniawi, toleransi dan penghargaan terhadap perbezaan serta menghindari estremisme. Wasatiyyah mencerminkan ajaran

    Islam yang mendorong umatnya untuk selalu berada di tengah-tengah, tidak berlebihan dalam segala hal dan selalu berusaha untuk menjaga keseimbangan dalam kehidupan. Dalam al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 143 menyebut umat Islam sebagai “ummatan wasatan” (umat yang sederhana) yang menunjukkan pentingnya prinsip keserhanaan dalam agama Islam.

    Islam menekankan keseimbangan dan keserhanaan dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam beribadah dan berhubungan dengan orang lain.

    Oleh itu, ghuluw dianggap sebagai penyimpangan dari jalan yang benar. Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan umatnya agar tidak berlebihan dalam agama, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW menyeru umat untuk menjauhi sikap estremisme dan berpegang pada jalan tengah.

    Sikap melampau atau taasub yg berlaku kini bertentangan dengan sifat adil dan sederhana sebagaimana dituntut oleh Islam, sikap mudah terpengaruh dengan sesuatu dan sikap taasub boleh menjadi masalah yang bukan sahaja membawa kepada perpecahan ummah bahkan telah membawa kepada budaya saling menyesatkan sesama Islam dan kuatnya suatu ajaran yang didakwa sebagai ajaran Islam tetapi bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam yang sebenar.

    Taasub kepada kumpulan-kumpulan tertentu boleh menjadikan umat Islam terus berbalah serta taasub kepada watak dan tokoh tertentu juga telah membutakan hati sebahagian masyarakat kepada kebenaran yang hak.

    Bagi membenteras pemikiran Ghuluw, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga telah mengambil pendekatan mendidik masyarakat melalui naratif-naratif yang tegas dengan melarang umat Islam dari mudah terpengaruh dan bersikap melampau atas nama agama Islam. Perkara ini juga ditekankan kepada para pegawai dan guru untuk sentiasa tidak mengambil sikap keterlaluan atau melampau dalam perkara-perkara agama bersifat relatif termasuk soal siasah semasa. Di majid surau juga perkara ini sentiasa diingatkan oleh penceramah melalui kupasan-kupasan mereka termasuk mengupas kitab “Prinsip-Prinsip Kesederhaan Dalam Islam” tulisan Yusuf Al-Qardhawi.

    JAlS juga sering mengingatkan mesyarakat Islam supaya memantapkan ilmu agama dengan menimba ilmu daripada guru yang berpandukan al-Quran dan Hadis serta menghuraikannya mengikut pandangan ulama muktabar. Dalam program kekeluargaan yang dilaksanakan, JAIS turut menggesa ibu bapa agar memberi kefahaman akidah, syariah dan akhlak dengan menunjukkan akhlak yang terpuji kepada ahli keluarga masing-masing.

    Dalam usaha mengekang sikap melampau, JAIS turut sentiasa mengambil tindakan-tindakan tegas terhadap pandangan tentang agama Islam yang menyalahi dari ajaran Islam yang sebenar. Antara tindakan yang diambil termasuklah mengemukakan beberapa pegangan dan kepercayaan yang disyaki menyeleweng dari ajaran Islam dengan mendapatkan pandangan hukum syarak dan fatwa dari Jabatan Mufti Negeri Selangor mengenainya dan menguatkuasakan semua peruntukan undang-undang yang ada terhadap mereka yang terlibat.

Lampiran

Tiada Lampiran.