Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

88) CABARAN EKONOMI GLOBAL

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sebagai hub dalam sektor pembuatan dan pekilangan khususnya dalam sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E), apakah persediaan Kerajaan Negeri untuk berdepan dengan cabaran global seperti dasar perdagangan Trump dan kelembapan ekonomi China?

    Dasar perdagangan Trump baharu memperkenalkan rangka kerja pelesenan tiga peringkat bagi semikonduktor yang digunakan dalam pusat data untuk pengkomputeran AI telah menjejaskan rantaian bekalan semikonduktor global.

    Negara dalam peringkat teratas, termasuk Australia, New Zealand, Korea Selatan, Taiwan, Belanda, dan Ireland, tidak menghadapi sebarang sekatan. Sebaliknya, negara seperti China, Iran, Rusia, dan Korea Utara secara efektif dihalang daripada mengimport cip AI daripada syarikat AS. Di peringkat pertengahan, yang dilaporkan merangkumi Malaysia, terdiri daripada lebih 100 negara yang tertakluk kepada had eksport dan keperluan pelesenan.

    Namun, syarikat-syarikat yang terjejas telahpun membuat perancangan pelan mitigasi bagi menangani cabaran global ini di mana syarikat-syarikat ini telah mempelbagaikan pelaburan mereka di negara yang tidak terkesan oleh dasar perdagangan Trump iaitu di negara Eropah dan Asia Tenggara (ASEAN).

    Asia Tenggara merupakan sebuah rantau yang sedang membangun dengan pesat dan mempunyai pasaran ekonomi yang luas untuk pembangunan sektor Elektrikal & Elektronik (E&E) serta rantaian bekalan industri tersebut.

    Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan usaha-usaha dalam menarik lebih banyak pelabur asing dalam sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E), khususnya dalam sub-sektor IC Design Semiconductor (Front End Semiconductor) serta membangunkan rantaian bekalan sub-sektor tersebut melalui penubuhan Selangor IC Design Park dan Selangor IC Design Park Fasa ke 2 yang akan berlokasi di Cyberjaya.

    Kerajaan Negeri Selangor juga akan memperkukuh usaha menerokai pasaran baharu dengan menyertai program-program antarabangsa seperti World Expo, Osaka 2025, SEMICON Southeast Asia 2025 di Singapura, SEMICON Japan 2025 sebagai platform utama bagi menghubungkan pemimpin industri, membincangkan trend terkini, dan meneroka peluang kolaborasi dalam kelestarian, kecerdasan buatan (AI), teknologi chiplet, elektrifikasi automotif, serta pembangunan tenaga kerja

    Kerjasama dan penyertaan dalam acara ini bukan sahaja memberi peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan daya saing dalam industri semikonduktor global, tetapi juga mempercepatkan pemindahan teknologi, menarik pelaburan bernilai tinggi, serta memperluaskan peluang pekerjaan dalam bidang reka bentuk cip, fabrikasi, dan penyelesaian semikonduktor pintar. Melalui penyertaan ini, ianya akan membuka peluang untuk mengenal pasti pelabur asing dari pelbagai negara yang berpotensi untuk melabur di Selangor.

    Selain itu, beberapa aktiviti dan program lain juga sedang dirancang bagi mewujudkan kerjasama erat dengan rantaian industri dari negara lain seperti Eropah, Amerika, Taiwan, dan China. Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan strategik dengan pemain industri antarabangsa, meneroka peluang pelaburan baharu, serta memastikan Malaysia terus relevan dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

    Kerajaan Negeri Selangor juga akan memperkukuh misi-misi pelaburannya dalam mengenal pasti pelabur asing yang berpotensi di negara seperti Eropah dan negara-negara lain dengan mengadaptasi strategi Go-to-market, iaitu strategi mengambil pendekatan yang lebih fokus dan spesifik dalam melaksanakan inisiatif promosi pelaburan.

    Kerajaan Negeri Selangor juga akan meningkatkan dan memperkukuhkan usaha kerjasama bersama agensi promosi pelaburan yang lain di peringkat Persekutuan seperti MIDA serta agensi-agensi di peringkat Negeri dalam usaha mempergiatkan inisiatif-inisiatif promosi pelaburan.

    Penganjuran acara tahunan iaitu Selangor International Business Summit (SIBS) juga akan diteruskan dan bakal dijadikan salah satu acara rasmi penganjuran Persidangan ASEAN 2025. Melalui program ini, Kerajaan Negeri berpeluang untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Gerbang Pasaran Asia Tenggara (Selangor, The Gateway to ASEAN) dan membuka ruang kolaborasi serta memperkukuh hubungan diantara Kerajaan (Government), pengusaha (business) dan penduduk (people). Program SIBS 2025 bakal memberi lebih penekanan kepada potensi perdagangan dan pelaburan di rantau Asia Tenggara.

Lampiran

Tiada Lampiran.