Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

383) BUSINESS MODEL UNTUK KELESTARIAN AIR SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan pilihan-pilihan business model yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk diangkat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai kaedah pembiayaan bagi menampung perbelanjaan pembangunan (capex) dan operasi (opex) Air Selangor.

    Bagi menampung perbelanjaan pembangunan modal (CAPEX) dan operasi (OPEX) Air Selangor, Air Selangor menggunakan dua kerangka pelan perniagaan utama (atau business models) yang bersandarkan kepada pelarasan tarif air, serta pelaburan langsung syarikat dan pemerolehan pembiayaan daripada pemegang taruh dan pihak berkepentingan.

    Dengan pelarasan tarif air baharu yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2024, ia dijangka dapat meningkatkan pendapatan Air Selangor, sekaligus membantu syarikat untuk menampung kos operasi (OPEX) yang semakin meningkat. Dalam pada masa sama, Air Selangor perlu terus melaksanakan pelaburan CAPEX terutamanya dalam membangunkan, menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur dan aset bekalan air bagi memastikan bekalan air yang mampan, boleh dipercayai dan berpatutan kepada pengguna. Model pelaburan/pembiayaan CAPEX Air Selangor yang melibatkan pelaburan langsung syarikat dan pemerolehan pembiayaan daripada pemegang taruh pula merangkumi:

    i. Penerbitan Program Sukuk Murabahah Air Selangor yang bernilai RM10 bilion,
    ii. Jangkaan keuntungan Air Selangor yang bakal diperoleh selepas pelarasan tarif; serta
    iii. Pembiayaan jangka panjang oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

    Untuk makluman, RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings) pada 11 September 2023 telah meneruskan pengesahkan penarafan penilaian jangka panjang AAA/Stabil dan jangka pendek P1 ke atas Program Sukuk Murabahah Air Selangor. Penarafan tertinggi ini mencerminkan kedudukan kewangan Air Selangor sebagai sebuah entiti Kerajaan Negeri Selangor yang berdaya saing dan mempunyai tahap risiko kredit yang rendah.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.