Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

71) BUDAYA HIDUP SIHAT

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha serta inisiatif Kerajaan Negeri untuk menggalakkan rakyat mengamalkan budaya hidup sihat?

    Kerajaan Negeri senantiasa menitikberatkan aspek kesihatan dalam pentadbiran negeri dan ini terbukti dengan perancangan pelbagai program yang menjurus ke arah tersebut. Di antara program terbesar bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat adalah program Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women). Melalui program ini, rakyat akan didedahkan dengan pelbagai tema kesihatan yang akan ditonjolkan semasa karnival dijalankan. Tema kesihatan yang dipilih akan diterjemahkan di dalam aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang Karnival 3W itu berlangsung. Di antara tema kesihatan yang telah dianjurkan semasa Karnival 3W adalah Hari Kanser, Hari Buah Pinggang, Hari Kesihatan Sedunia, Hari Tanpa Tembakau, Hari Denggi, Hari Pemakanan Sihat, Hari Jantung dan sebagainya. Pemilihan tema kesihatan ini secara tidak langsung akan mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap penjagaan kesihatan dan memperolehi info lebih spesifik terhadap isu kesihatan yang diketengahkan.

    Melalui Karnival 3W ini juga turut diadakan aktiviti 10,000 langkah yang akan diadakan pada awal pagi. Penyertaan aktiviti 10,000 langkah ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung-pengunjung yang hadir. Program pengurusan berat badan iaitu Slim Selangor 3W turut dilaksanakan dan ianya terbuka kepada orang awam untuk menyertainya. Selain daripada aktiviti fizikal, turut diadakan forum-forum kesihatan, pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan sebagainya. Penganjuran Karnival 3W ini boleh disimpulkan sebagai karnival kesihatan menyeluruh kerana pengunjung boleh mendapatkan pelbagai info dan aktiviti kesihatan percuma.

    Selain daripada itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut berganding bahu dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berunsurkan kesihatan di dalam kawasan pentadbiran masing-masing. Sebagai contoh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan pada setiap bulan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan menggalakkan rakyat untuk memelihara alam sekitar. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain juga turut tidak terkecuali dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti kesihatan seperi acara larian, kayuhan basikal dan sebagainya. Penganjuran Bulan Sukan Negara di peringkat daerah juga turut diadakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan mengajak rakyat untuk lebih kerap bersukan pada bulan penganjuran tersebut.

    Kerajaan Negeri akan terus merangka program-program dan inisiatif-inisiatif terbaharu berdasarkan bajet yang dibentangkan bagi memastikan rakyat beroleh manfaat dalam memacu gelombang kesedaran penjagaan kesihatan yang sempurna.

  2. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk menangani masalah kegemukan dan obesiti yang semakin tinggi di kalangan penjawat awam negeri?

    Melalui program Slim Selangor yang telah diperkenalkan pada awal tahun 2019, beberapa aktiviti telah direncanakan untuk menggalakkan penjawat awam mengamalkan gaya hidup sihat dalam mengurangkan masalah kegemukan dan obesiti yang menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit. Program-program kesihatan yang melibatkan penjawat awam ini adalah lebih bersifat kepada program pencegahan untuk mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit seperti obesiti.

    Aktiviti utama di bawah program Slim Selangor adalah Slim Selangor Intensif di mana aktiviti ini terbuka kepada kakitangan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang mempunyai berat badan berlebihan dan melebihi kadar Body Mass Index (BMI) yang sepatutnya. Peserta yang terpilih akan menjalani 12 kali sesi latihan intensif bersama jurulatih professional yang dilantik selama 3 bulan. Peserta yang berjaya mencatatkan penurunan berat badan tertinggi akan diberi penghargaan pada akhir program kelak.

    Selain daripada aktiviti Slim Selangor Intensif, di bawah kerangka program Slim Selangor turut diperkenalkan aktiviti Senam Sihat Selangor di mana program ini terbuka untuk semua penjawat awam negeri Selangor bagi mengikuti satu aktiviti senaman yang akan turut dipimpin oleh jurulatih professional. Aktiviti senaman ini akan diadakan di lobi SUK selama satu jam pada setiap hari selasa setiap minggu. Penganjuran senam sihat ini secara tidak langsung akan menggalakkan semua kakitangan dan penjawat awam untuk mengamalkan dan membudayakan aktiviti fizikal bagi mengekalkan berat badan ideal.

    Selain daripada itu, dalam usaha untuk menggalakkan pengambilan makanan berkhasiat, aktiviti Slim Selangor – Pemakanan Sihat turut diadakan bagi memastikan penjawat awam mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang dalam kehidupan harian. Aktiviti ini lebih menjurus ke arah kempen kesedaran pengambilan makanan berkhasiat. Selain daripada itu, semua jabatan turut digalakkan merujuk kepada Panduan Penyajian Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat  Edisi Ke-2 yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tujuan sajian makanan semasa mesyuarat dan majlis rasmi.

    Keseluruhan aktiviti di bawah kerangka Program Slim Selangor akan diteruskan dan ditambah baik bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam usaha untuk menggalakkan penjawat awam mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat dan seterusnya mengatasi masalah kegemukan dan obesiti.

Lampiran

Tiada Lampiran.