Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

57) BONUS UNTUK KAKITANGAN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memberi bonus mengikut prestasi atau pencapaikan kerja penjawat awam, berbanding cara sekarang dimana semua mendapat bonus yang sama tidak kira prestasi kerja?

    Pemberian Bonus atau kini lebih dikenali sebagai Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada semua pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Selangor termasuk di Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri merupakan suatu insentif daripada pihak Kerajaan Negeri bagi menghargai sumbangan dan komitmen yang diberikan oleh penjawat awam. Pemberian BKK sebanyak dua (2) kali setahun ini juga dapat meringankan beban penjawat awam dalam membuat persiapan sambutan perayaan dan persiapan keperluan sekolah anak-anak.

    Berdasarkan semakan, penjawat awam Negeri Selangor menerima BKK paling tertinggi iaitu sebanyak 1 ½ bulan gaji berbanding penjawat awam di negeri-negeri lain mahupun Persekutuan yang hanya memberikan BKK sebanyak RM500.00.

    Dalam urusan pemberian BKK ini, Kerajaan Negeri telah menyenaraikan syaratsyarat kelayakan dan kaedah pembayarannya. Sehubungan itu, pegawai yang berprestasi rendah dan dikenakan tindakan tatatertib tidak layak menerima BKK ini.

  2. Apakah cara lain yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk memberi insentif kepada kakitangan?

    Selain daripada BKK, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk memberikan insentif kepada Penjawat Awam Negeri Selangor adalah seperti berikut:

    • bagi mengiktiraf penjawat awam yang memberikan prestasi yang cemerlang sepanjang tahun penilaian dan boleh dijadikan sebagai role model di kalangan warga organisasi, Pentadbiran ini turut memberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) setiap tahun bagi mewujudkan persaingan sihat antara warga organisasi dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Hal ini kerana penghargaan APC ini hanya dihadkan kepada 8% daripada jumlah keseluruhan warga organisasi setiap tahun;
    • bagi menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam yang telah lama berkhidmat dan berprestasi cemerlang dalam tempoh perkhidmatan, Pentadbiran ini juga melaksanakan urusan kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) melibatkan anggota Kumpulan Pelaksana. Hal ini secara tidak langsung mampu memberikan suntikan motivasi dan semangat warga kerja dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa pada tahap yang cemerlang;
    • DYMM Tuanku Sultan Selangor turut menganugerahkan Bintang, Pingat dan Darjah Kebesaran kepada penjawat awam pada setiap tahun bersempena sambutan Hari Keputeraan Baginda bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh penjawat awam;
    • dalam menterjemahkan hasrat Kerajaan Negeri dalam melahirkan penjawat awam yang berilmu, Pentadbiran ini turut menawarkan skim pinjaman pelajaran kepada pegawai-pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA);
    • memberikan latihan-latihan peningkatan kemajuan kerjaya yang komprehensif kepada semua lapisan penjawat awam Negeri Selangor. Program-program latihan yang dilaksanakan telah diperkemas dengan nilai tambah dan selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Pentadbiran ini telah membangunkan Pelan Operasi Latihan (POL) yang diguna pakai oleh semua Jabatan / Agensi yang antara lain menekankan keperluan setiap penjawat perlu menghadiri latihan (bengkel / kursus / seminar) sekurang-kurangnya tujuh (7) hari setahun;
    • merangka Pelan Penggantian (Succession Pelan) yang komprehensif terutamanya melibatkan jawatan-jawatan strategik agar kelangsungan tugas dan kepimpinan di sesebuah organisasi mampu diteruskan;
    • melaksanakan program pertukaran (urusan peminjaman, pertukaran tetap, pertukaran sementara, pusingan kerja dan sebagainya) bagi menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman kerja penjawat awam di pelbagai Jabatan / Agensi. Dalam hal ini, seseorang pegawai boleh mempelajari amalan terbaik (best practices) di sesebuah Jabatan / Agensi dan mengurangkan ruang-ruang yang membolehkan tahap integriti seseorang pegawai dipertikaikan;
    • menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan berkaitan gaji minimum anggota perkhidmatan awam secara keseluruhannya telah dinaikkan dengan mengambil kira perkembangan keadaan ekonomi semasa. Selain itu, kelayakan minimum pelantikan anggota perkhidmatan awam juga telah dinaikkan kepada minimum Penilaian Menengah Rendah (PMR) (daripada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum ini);
    • membudayakan dan melaksanakan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S di semua ruang kerja jabatan bagi memastikan semua penjawat awam bekerja dalam keadaan kondusif dan produktif;
    • melaksanakan pensijilan MS ISO bagi prosedur-prosedur tertentu di setiap jabatan dan bahagian di mana ia akan memudahkan penjawat awam melaksanakan tugasan dengan adanya standard template dan peraturan yang seragam. Melalui persijilan tersebut, penjawat awam dapat menjalankan tugas dengan lebih licin dan teratur; dan

    Melaksanakan program Penilaian Penandaarasan Organisasi secara menyeluruh dengan penglibatan beberapa buah badan profesional dan agensi pusat seperti berikut:

    • program Penarafan Bintang oleh pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dilaksanakan secara dwitahunan,
    • program penilaian Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC) oleh Bahagian Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dilaksanakan secara dwitahunan,
    • program Anugerah Inovasi Sektor Awam Negeri Selangor yang dianjurkan saban tahun untuk membudayakan konsep inovasi dalam perkhidmatan awam.

    program Penilaian Portal Dan Laman Web Rasmi Jabatan / Agensi yang dilaksanakan setiap tahun yang menilai keberkesanan dan menambah baik perkhidmatan atas talian yang ditawarkan. Hal ini secara tidak langsung menggalakkan setiap Jabatan / Agensi mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan atas talian sepenuhnya bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan kerja yang diberikan kepada orang awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.