Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

202) BOMBA SUKARELA SAUJANA UTAMA

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu pasukan bomba sukarela Saujana Utama yang telah banyak memberikan perkhidmatan secara sukarela kepada penduduk di sekitar Saujana Utama, Felda Bukit Cerakah, kawasan perindustrian Ijok, Elmina Green dan Desa Coalfield?

    Berdasarkan semakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Persatuan Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama telah melaksanakan beberapa siri perbincangan dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkaitan kebenaran untuk penempatan Bomba Sukarela secara kekal dengan menggunakan sebahagian tapak milik PPAS. Melalui minit Mesyuarat bertarikh 14 April 2023, PPAS telah bersetuju memberi kebenaran kepada PBS Saujana Utama.

  2. Semenjak tahun 2018, berapakah peruntukan yang telah disalurkan kepada Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama?

    Berikut adalah peruntukan Geran tahunan yang telah disalurkan kepada seluruh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Malaysia iaitu:

     

    – Tahun 2018 : RM 3,000.00

    – Tahun 2019 : RM 3,000.00

    – Tahun 2020 : RM 3,000.00

    – Tahun 2021 : RM 1,500.00

    – Tahun 2022 : RM 3,000.00

    – Tahun 2023 : RM 3,000.00

     

    Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama tidak terkecuali menerima peruntukan Geran Tahunan PBS sejak tahun 2018 yang telah di nilai berdasarkan keatifan pasukan dalam membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor.

     

    Pada tahun 2023 JBPM Negeri Selangor telah membekalkan bahan mentah bagi penyediaan satu unit kontena bersaiz 10’ X 20’ dengan peruntukan RM17,000.00.

     

    Selain itu, bantuan-bantuan dari ADUN dan Ahli Parlimen antaranya :

     

    1. YB Datuk Seri Dr. Dzulkifli bin Ahmad (2019) – RM50,000.00 untuk membantu dalam pembelian Jentera PBS
    2. YB Mohd Khairuddin bin Othman (2021) – RM160,000.00 (Tajaan GLC Negeri Selangor) untuk membantu perbelanjaan mengurus dan pembangunan asas persatuan.
    3. YB Mohd Khairuddin bin Othman (2022) – RM10,000.00 membantu membeli peralatan menyelamat dan PPE.
    4. YB Mohd Khairuddin bin Othman (2023) – RM20,000.00 misi bantuan bencana.
  3. Dengan jumlah penduduk yang semakin meningkat, adakah pihak kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak kekal untuk pembinaan balai bomba untuk Saujana Utama dan sekitarnya?

    Untuk makluman YB, Pemaju Eco Worlds di Eco Grandeur telah di menyediakan satu (1) tapak tanah seluas 2.86 ekar untuk pembinaan Balai Bomba iaitu di Lot 46299, Mukim Ijok Daerah Kuala Selangor. Jarak tapak ini adalah 2.8km ke Saujana Utama.

    Tuntutan Notis 5a telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM 1,158,170.00. Permohonan peruntukan bagi pembayaran notis ini telah dilaksanakan walau bagaimanapun Kerajaan Persekutuan tidak dapat membuat bayaran jumlah ini sehingga tamat tempoh yang diberikan (31 Oktober 2023).

Lampiran

Tiada Lampiran.