Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

90) BLUEPRINT PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah keberkesanan program blueprint pembasmian kemiskinan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, pada tahun 2018 satu kajian penilaian impak melibatkan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan telah dilaksanakan oleh Institut Darul Ehsan (IDE). Berhubung dengan keberkesanan program ini, laporan akhir kajian telah menunjukkan majoriti responden dari kalangan penerima iaitu 95% daripada 1,171 sampel responden bersetuju bahawa bantuan mesin/ peralatan yang diterima telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan bulanan mereka. Selain daripada itu, statistik pendapatan sebelum dan selepas menerima bantuan menunjukkan secara keseluruhan min pendapatan meningkat dari RM917.00 kepada RM1,378.00. Ini menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak RM416.00 iaitu sebanyak 50.3% sekaligus menunjukkan keberkesanan yang positif.

  2. Berapakah jumlah usahawan yang masih meneruskan dan tidak meneruskan perniagaannya selepas menerima bantuan blueprint?

    Dapatan kajian tersebut telah menunjukkan bahawa 87% iaitu seramai 1,019 daripada 1,171 orang penerima bantuan telah berjaya meningkatkan pendapatan dan terus aktif menjalankan perniagaan selepas menerima bantuan mesin/ peralatan daripada Kerajaan Negeri. Manakala hanya 13% iaitu seramai 152 sahaja mencatatkan tiada peningkatan.

     

  3. Apakah jenis-jenis perniagaan yang dilakukan oleh semua peserta blueprint?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sebahagian besar peserta blueprint terlibat di dalam aktiviti-aktiviti perniagaan seperti jahitan, jualan makanan dan minuman, makanan ringan, penjaja pasar malam, perkhidmatan, bengkel, pembuatan makanan sejuk beku, minuman dan roti dan pastri.  Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan ini, dapat disimpulkan bahawa Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan telah memberikan impak yang positif kepada rakyat Selangor khususnya di dalam mengupayakan tahap sosio ekonomi mereka.

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.