Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

54) BIRO PENGADUAN AWAM

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Terdapat aduan bahawa tiada jabatan berkenaan untuk menguruskan aduan orang awam terhadap jabatan-jabatan atau agensi-agensi Kerajaan Selangor. Penubuhan Biro Pengaduan Awam adalah amat penting demi meninggkatkan prestasi jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan. Adakah Kerajaan Selangor berniat untuk menubuhkan biro tersebut?

    Seksyen Aduan Awam yang terletak di Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah sedia ada dan merupakan seksyen yang bertanggungjawab untuk menyelaras dan menguruskan aduan awam terhadap jabatan dan agensi di Negeri Selangor.

    Seksyen Aduan Awam ini juga berfungsi untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua Pegawai Perhubungan Pengaduan Awam (PPPA) yang telah sedia wujud di jabatan dan agensi Kerajaan Negeri termasuklah Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerajaan Negeri, Badan Berkanun, Anak Syarikat dan Syarikat Utiliti bagi tujuan memudahkan dan melicinkan pengurusan aduan-aduan yang diterima oleh Kerajaan Negeri untuk diambil tindakan sewajarnya.

    Pada masa yang sama, Seksyen Aduan Awam Korporat juga menyelaras dan memantau tindakan terhadap aduan-aduan yang diterima menerusi mesyuarat-mesyuarat aduan peringkat jabatan dan peringkat negeri yang diadakan mengikut prosedur pengurusan aduan yang ditetapkan.

    Secara keseluruhannya, Seksyen Aduan Awam bertanggungjawab memantau penyelesaian aduan awam Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 80% berakhir 31 Disember setiap tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.