Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

137) BINAAN HARAM DI ATAS TANAH KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan berapakah jumlah struktur binaan haram seperti pondok, kandang, reban, rumah dan sebagainya di atas tanah-tanah milik kerajaan di seluruh Selangor setakat ini mengikut Kawasan Pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Secara khususnya tiada data atau maklumat secara terperinci berkaitan jumlah struktur binaan haram seperti pondok, kandang, reban, rumah dan sebagainya. Ini adalah kerana tiada bancian khusus yang dilakukan dan yang direkodkan. Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat, kebanyakan data-data atau maklumat yang berkaitan dengan struktur binaan haram ini adalah lebih tertumpu kepada pembinaan kilang-kilang haram yang dibina di pinggir sungai atau mana-mana tanah Kerajaan yang boleh memberikan kesan buruk terhadap kawasan sekeliling dan alam sekitar. Dalam menangani hal ini, Pentadbiran ini juga kerap dan seringkali mengadakan tindakan-tindakan perobohan terhadap mana-mana struktur binaan haram separa kekal yang dikenalpasti seperti kandang haiwan, reban, sangkar dan sebagainya yang mana seperti contoh adalah satu operasi perobohan kandang lembu telah dilakukan di Daerah Klang yang mana binaan haram ini telah dikenalpasti menggunakan rizab talian rentis untuk dijadikan tempat rehat atau pengumpulan lembu-lembu tersebut.

     

    Selain itu juga, dalam daerah yang sama, terdapat aktiviti perobohan struktur binaan haram seperti kedai penjaja, gerai makan, kedai runcit dan sebagainya yang dibina di atas kawasan lapang. Kebanyakkan data-data atau jumlah binaan haram ini hanya dikenal pasti melalui sesuatu keluasan lot-lot tanah yang telah dikenalpasti dan bakal diambil tindakan penguatkuasaan. Selain itu, Pentadbiran ini juga berpandangan jumlah struktur binaan ini boleh diperolehi dengan bancian yang dibuat secara berkala dengan kerjasama antara pihak Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan atau mana-mana agensi yang dipertanggungjawabkan sebagai pegawai pengawal sesuatu kawasan tersebut.

     

    Antara cabaran utama untuk memastikan jumlah binaan struktur haram ini agak sukar dikemaskini dan mendapat jumlah yang tepat adalah kerana kebanyakkan binaan ini dibina dengan tempoh masa yang singkat dan boleh dipindahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini bila-bila masa dan dari satu tempat ke tempat yang lain. Dalam erti kata lain, kemunculan binaan haram separa kekal seperti reban, kandang dan sebagainya ini adalah bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Walaupun sudah kerap kali tindakan penguatkuasaan diambil, namun aktiviti mereka tidak berhenti malah banyak binaan baru yang bertambah pula di lain-lain kawasan. Sehubungan dengan itu, seperti semua Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Pihak Berkuasa Negeri melalui mana-mana agensi yang berkaitan tidak pernah lupa dan alpa serta sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dengan melakukan rondaan, pemantauan dan kerjasama antara-antara agensi bagi mengawal dan mencegah masalah-masalah ini dari terus berlaku.

  2. Berapakah bilangan individu, organisasi atau syarikat yang telah dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan menceroboh dan membina struktur haram di atas tanah-tanah milik Kerajaan Negeri di kawasan PBT berkenaan?

    Secara amnya tindakan undang-undang ini tidak hanya terhad kepada pengenaan denda atau hukuman penjara atau mana-mana prosiding mahkamah sahaja, malah tindakan undang-undang ini juga turut meliputi beberapa aspek lain yang terkandung dalam peruntukan undang-undang sedia ada seperti memberi amaran, pengeluaran notis berkanun dan notis pentadbiran, siasatan, menahan, merampas, kompaun, pelucuthakan dan sebangainya. Oleh yang demikian secara umumnya, ada diantara individu-individu yang disyaki bersalah melakukan pencerobohan terhadap mana-mana tanah kerjaan telah diambil tindakan undang-undang dan ada juga yang masih lagi berada di peringkat siasatan. Justeru jumlah keseluruhan tindakan undang-undang atau penguatkuasaan ini hanya boleh ditentukan melalui kertas siasatan atau apa-apa rekod yang dicatatkan di agensi yang berkaitan.

     

    Untuk makluman tambahan semua Ahli Yang Berhormat, pentadbiran ini melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Selangor juga telah memfokuskan segala tindakan penguatkuasaan di bawah mana-mana peruntukan Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan dan secara khususnya adalah melalui Seksyen 127-130, Seksyen 425 hingga 427 dan Enakmen Mineral Selangor yang mana meliputi keseluruhan tanah kerjaan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.