Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
251) BILANGAN QUALIFIED TITLE YANG MASIH BELUM DIPROSES MENJADI FINAL TITLE
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah jumlah Hak milik Sementara (Qualified Title) yang masih belum diproses menjadi Hak milik Kekal (Final Title) di setiap daerah pada sekarang?
Jumlah hakmilik Sementara (Qualified Title) yang masih belum diproses menjadi Hakmilik Kekal (Final Title) di Negeri Selangor sehingga 31 Oktober 2014 (bagi terimaan tahun 2003 hingga 2014) dan pecahannya mengikut daerah adalah seperti di Lampiran A.
-
Perincikan semua faktor dan kekangan yang menyebabkan masalah ini.
Faktor dan kekangan dalam menyelesaikan proses penukaran Hakmilik Sementara kepada Hakmilik Kekal/Tetap (QTFT) adalah seperti berikut:
Pengesanan fail permohonan lama di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) untuk penyediaan Final Title (FT).
Terdapat permohonan yang masih tiada Permohonan Ukur (PU) dan Pelan Akui (PA).
Kekurangan kakitangan/ pegawai seperti berikut:
- Pegawai Petempatan untuk membuat proses suai padan (match making) dan penyediaan permohonan Hak Milik (Requisition of Title (RT).
- Kakitangan bagi urusan kemasukan Hak Milik.
- Pendaftar Hak Milik bagi membuat proses pendaftaran dan pengeluaran Hak Milik Sambungan.
Walaupun Kerajaan Persekutuan telah melantik Pasukan Petugas Khas (PPK) secara kontrak pada tahun 2004 yang ditempatkan di seluruh Pentadbiran Tanah Selangor seramai 146 perjawatan, tetapi sehingga kini hanya tinggal 40 orang pegawai (kontrak) yang masih berkhidmat iaitu 32 orang dalam penyelesaian tunggakan Penukaran Pendaftaran Hakmilik Sementara kepada Hakmilik Kekal, manakala baki 8 orang terlibat dalam urusan Hakmilik Strata dan Hasil.
Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga kini terdapat 780,310 lot atau 60% berbanding 1,301,970 lot jumlah tunggakan keseluruhan telah berjaya diselesaikan. Manakala sehingga September 2014, baki sebanyak 521,660 lot atau 40% masih perlu didaftarkan kepada Hakmilik Kekal.