Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

199) BILANGAN PELANCONG KE SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan JK Tetap Pelancongan dalam membawa lebih ramai pelancong ke Selangor?

    Untuk membawa lebih ramai pelancong ke Negeri Selangor adalah antara objektif utama JK Tetap Pelancongan melalui Tourism Selangor dalam memperkasakan kempen-kempen promosi dalam dan juga luar negara seperti Kempen Pusing Selangor Dulu! Dan Splendid Selangor serta mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti pelancongan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Disamping itu, JK Tetap Pelancongan turut memberi penumpuan dalam melestarikan industri pelancongan Negeri Selangor dengan mewujudkan lebih banyak produk-produk pelancongan di peringkat PBT serta menambahbain infrastruktur bagi kemudahan pengunjung dan pelancong.

  2. Berapakah bilangan yang telah masuk ke Selangor dan apakah unjuran dalam tempoh 5 tahun dari sekarang?

    Kaji selidik kedatangan pelancong bagi tempoh Januari hingga Jun tahun 2022 ini masih lagi di peringkat pengumpulan data dimana ianya dilaksanakan setiap 6 bulan sekali (2 kali setahun) dan pelaporan bagi kaji selidik tersebut dijangka akan dibentangkan kepada pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada akhir bulan Ogos 2022. Namun begitu, untuk pengetahuan Yang Berhormat prestasi kedatangan pelancong bagi tahun 2021 adalah sebanyak 3.19 juta dan Tourism Selangor mengunjurkan peningkatan kedatangan pelancong dalam tempoh 5 tahun akan datang adalah pada kadar 3% hingga 5% setahun mengikut situasi global, seperti berikut :

     

     

     

    TAHUN UNJURAN KEDATANGAN PELANCONG
    2026 6 Juta
    2025 5.5 Juta
    2024 5 Juta
    2023 4.5 Juta
    2022 4 Juta
  3. Apakah segmen pelancongan yang menjadi pilihan utama mereka ke Selangor?

    Negeri Selangor menawarkan pelbagai segmen pelancongan kepada para pelancong samada bagi pelancong domestik atau antarabangsa. Di antaranya adalah segmen pelancongan sukan, pelancongan membeli-belah, pelancongan warisan, pelancongan agro dan sebagainya.

    Walaubagaimanapun,  segmen eko pelancongan yang terdapat di Negeri Selangor sering menjadi pertanyaan dan mendapat permintaan yang tinggi di kalangan para pelancong domestik dan juga antarabangsa. Antara produk pelancongan yang menjadi tumpuan para pelancong adalah seperti Sky Mirror, Kelip-Kelip Kg. Kuantan, FRIM di Kepong dan Taman-Taman Eko Rimba yang terdapat di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.