Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
224) BILANGAN DAKWAAN BAWAH S79(1) ENAKMEN LUAS
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan bilangan kes pencemaran yang telah didakwa di mahkamah bawah S79(1) Enakmen LUAS sejak dipinda semasa sidang November 2020?
Pada masa ini, belum ada lagi pendakwaan dibuat di bawah seksyen 79 Enakmen LUAS 1999.
-
Jika tiada, sila terangkan mengapa.
Penjelasan adalah seperti berikut:
Bagi setiap kes pencemaran sumber air yang berlaku, LUAS telah membuka Kertas Siasatan bagi tujuan pendakwaan di bawah seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999. Kesemua Kertas Siasatan tersebut telah dikemukakan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor untuk mendapat izin untuk mendakwa.
Namun begitu, kes-kes pencemaran sumber air ini juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah undang-undang lain seperti seksyen 430 Kanun Keseksaan, seksyen 121 Akta Industri Pekhidmatan Air 2006 dan seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh agensi yang berlainan antaranya Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor.
Kuasa untuk menentukan samada sesuatu pendakwaan dibuat di bawah peruntukan undang-undang tertentu adalah terletak di bawah kuasa Timbalan Pendakwa Raya yang telah dilantik oleh Pendakwa Raya di bawah Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah. Timbalan Pendakwa Raya mempunyai kuasa penuh untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan apa-apa perbicaraan di mahkamah.
Sebagai contoh, bagi kes pencemaran di Sungai Gong pada 11 November 2020, pertuduhan telah dibuat terhadap (2) dua individu iaitu Nathan a/l Rajadran dan Lim Kian Aik di Mahkamah Sesyen Selayang. Kesalahan yang dituduh adalah seperti berikut:-
(a) Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan;
(b) Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan;
(c) Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan;
(d) Seksyen 19(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan;
(e) Seksyen 61 (1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan;
(f) Undang-undang Kecil 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Selayang) 2007
Seterusnya bagi kes pencemaran Sungai Selangor pada 7 Disember 2020, pertuduhan telah dibuat terhadap pengarah syarikat iaitu Tan Kim Hong di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu. Kesalahan yang dituduh adalah di bawah seksyen 430 Kanun Keseksaan. Kes ini juga dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor.
Walaupun pesalah-pesalah kes pencemaran sumber air dituduh di bawah peruntukan undang-undang lain, Kertas Siasatan yang disediakan oleh LUAS di bawah Seksyen 79 Enakmen LUAS 1999 tetap digunakan dan dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya sebagai maklumat tambahan bagi mengukuhkan bukti-bukti pendakwaan dan kakitangan LUAS juga turut dipanggil sebagai saksi pendakwaan di dalam perbicaraan.