Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

359) BIL AIR PANGSAPURI PERKHIDMATAN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status penawaran tarif air domestik kepada pemilik pangsapuri perkhidmatan sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto Kita Selangor?

    Antara manifesto Kerajaan Pakatan Harapan di bawah Tekad 5: Selangor Negeri Penyayang Yang Membela Kepentingan Rakyat adalah menawarkan opsyen penukaran cukai petak dan utiliti air daripada kadar komersial kepada kadar kediaman bagi pemilikan rumah pertama.

    Pihak Air Selangor sebagai Agensi Perakuan Bekalan Air yang berdaftar dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), bertanggungjawab untuk menyemak kecukupan bekalan air dan mengkaji cadangan reka bentuk sistem retikulasi air luaran dan sesalur utama bekalan sahaja, manakala, sistem bekalan air dalaman pula adalah tanggungjawab pihak pemaju sepenuhnya.

    Justeru, Air Selangor berpandangan bagi memastikan proses migrasi dapat direalisasikan, pihak pemaju atau badan pengurusan bersama perlu menyediakan sistem bekalan air dalaman secara berasingan mengikut jenis kegunaan iaitu komersial dan juga kediaman.

    Selain itu, seperti dalam Syarat Nyata geran tanah, yang diluluskan oleh pejabat tanah dan juga kelulusan pembangunan yang akan dibina oleh pihak berkuasa negeri juga menjadi sebahagian faktor pertimbangan oleh Air Selangor dalam menentukan sama ada sesebuah pembangunan tersebut jatuh di bawah kategori yang boleh dilaksanakan migrasi.

    Di samping itu, mengikut Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (Edisi Ketiga) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, takrifan bagi “Pangsapuri Perkhidmatan” adalah satu konsep pembangunan komersial yang bercirikan kediaman yang disediakan dengan pakej-pakej perkhidmatan tertentu bagi setiap unit.

    Sehubungan itu, kajian terperinci adalah perlu dan harus dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri memandangkan ia melibatkan akta-akta yang mengawal selia perihal percukaian, status tanah dan peraturan-peraturan bekalan air.

    Manakala, pihak SPAN pula sedang giat mengumpul maklumat dalam membuat penilaian dan memproses permohonan migrasi meter bekalan air termasuk migrasi pangsapuri perkhidmatan atau berstatus komersial di setiap negeri bagi tindakan selanjutnya.

    Air Selangor akan menghantarkan surat kepada Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, yang juga selaku Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memohon penukaran kadar komersial kepada kadar kediaman. Di samping itu, Kerajaan Negeri akan menanggung sebarang kos terlibat seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto Kita Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.