Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

50) BIDANG KUASA PBT, PDRM, PEJABAT DAERAH DAN KASTAM DALAM URUSAN PENJUALAN ARAK

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Noor Hanim Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bidang kuasa PBT, PDRM, Pejabat Daerah dan Kastam dalam urusan penjualan arak kepada orang awam?

    Pejabat Daerah dan Tanah merupakan jabatan yang bertindak sebagai urus setia dalam menguruskan pengeluaran lesen minuman liquor yang memabukkan. Bidang kuasa yang dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah sebagai urus setia adalah seperti yang terkandung di dalam Akta Eksais dan Peraturan-Peraturan (Akta 176). Lesen yang dikeluarkan terbahagi kepada empat (4) kategori iaitu:-

    • Lesen rumah awam – untuk jualan secara runcit liquor yang memabukkan, tidak termasuk todi, untuk digunakan pada premis atau di tempat di mana liquor itu dijual;
    • Lesen rumah bir – untuk jualan secara runcit bir untuk digunakan pada premis atau di tempat di mana bir itu dijual: dengan syarat bahawa pemegang-pemegang lesen rumah awam adalah dikecualikan daripada memiliki lesen rumah bir;
    • Lesen kedai runcit – untuk jualan secara runcit liquor yang memabukkan, tidak termasuk todi, untuk digunakan di tempat-tempat lain daripada pada premis atau di tempat di mana liquor itu dijual; dan
    • Lesen peniaga borong – untuk jualan secara borong liquor yang memabukkan, tidak termasuk

    Keahlian Lembaga Pelesen adalah terdiri daripada seorang Pengerusi (Pegawai Daerah), seorang Naib Pengerusi dan tidak kurang daripada dua (2) orang atau tidak melebihi lima (5) orang ahli-ahli lain, di mana mereka dilantik oleh Menteri. Dalam menjalankan peranannya, ia menguruskan Mesyuarat Lembaga Pelesenan yang diadakan sekurang-kurangnya empat (4) kali setahun. Notis untuk mesyuarat perlu diiklankan mengikut apa-apa cara yang diarah oleh Pengerusi mesyuarat tidak kurang daripada enam (6) minggu sebelum tarikh mesyuarat yang ditetapkan.

    Pemohon lesen baharu hendaklah hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah untuk melengkapkan borang permohonan berserta dokumen-dokumen sokongan

     

    yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Eksais (Lembaga Pelesen) Akta Eksais dan Peraturan-Peraturan (Akta 176) dan hendaklah dikemukakan semula kepada urus setia selewat-lewatnya satu (1) bulan daripada tarikh mesyuarat. Peraturan di atas juga merangkumi permohonan membaharui lesen, permohonan memindahmilik lesen dan permohonan menukar nama perniagaan atau alamat perniagaan yang telah dilesenkan. Bayaran bagi lesen- lesen adalah sepertimana termaktub di dalam peraturan 19 Peraturan- Peraturan Eksais (Lembaga Pelesen) Akta Eksais dan Peraturan-Peraturan (Akta 176).

    Mesyuarat Lembaga Pelesenan hanya akan memberi kelulusan terhadap permohonan sekiranya semua Jabatan Teknikal yang terlibat iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menyokong permohonan yang telah diterima. Sekiranya terdapat bantahan terhadap keputusan Lembaga Pelesenan, pemohon boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri dalam masa tiga puluh (30) hari selepas pemohon dimaklumkan tentang keputusan tersebut dan keputusan Menteri adalah muktamad.

    Bagi bidang kuasa PBT, PDRM dan Kastam, sila rujuk kepada jabatan yang terlibat.

Lampiran

Tiada Lampiran.