Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

232) BIASISWA SELANGOR BITARA

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa ramai penerima BITARA sejak pelancaran dan peratus yang tamat pengajian?

    Biasiswa Selangor BITARA menawarkan biasiswa dalam kalangan Anak Selangor bagi pengajian bidang-bidang strategik dan kritikal bermula dari peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. Biasiswa Bitara ini memfokuskan kepada bidang-bidang pengajian strategik dan kritikal yang merangkumi skop Smart Selangor seperti tadbir urus, tenaga dan utiliti, pengurusan air, pengangkutan, keselamatan, kesihatan dan pertanian. Universiti yang ditetapkan perlulah di bawah 50 world ranking universiti berdasarkan QS World University Ranking. Sejak permohonan mula dibuka pada tahun 2017 hingga kini, terdapat seramai empat (4) orang penerima Biasiswa BITARA. Daripada jumlah tersebut, seorang pelajar telah menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Perisian di University of Technology Sydney, Australia pada tahun 2022. Sementara seorang pelajar telah berhenti pengajian manakala dua (2) orang lagi sedang mengikuti pengajian.

     

    Selain BITARA, Kerajaan Selangor juga telah memperkenalkan Biasiswa Dato’ Menteri Besar Selangor bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang memberi peluang kepada bidang-bidang lain dan menetapkan top 100 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World Ranking. Biasiswa ini telah mula diperkenalkan pada tahun 2023 di mana seramai tujuh (7) orang penerima telah dianugerahkan biasiswa tersebut.

  2. Senaraikan bidang pengajian dan universiti yang paling ramai penerima biasiswa.

    Senarai bidang pengajian dan universiti bagi penerima Biasiswa BITARA adalah seperti berikut:

  3. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk menarik penerima BITARA untuk pulang dan menjadi sebahagian daripada tenaga kerja di Selangor?

    Bagi tujuan menarik penerima BITARA untuk pulang dan menjadi sebahagian daripada tenaga kerja di Selangor, di dalam ikatan kontrak perjanjian adalah disyaratkan bahawa:

     

    • Penerima biasiswa dikehendaki pulang ke Malaysia setelah tamat tempoh pengajian yang telah ditetapkan;

     

    • Bagi penerima kategori penjawat awam, penerima dikehendaki berkhidmat di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri atau Badan Berkanun atau anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor untuk tempoh minimum 5 tahun; dan

     

    • Bagi kategori orang awam, penerima dikehendaki berkhidmat di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri atau Badan Berkanun atau anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor sekiranya ditawarkan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tiada sebarang obligasi untuk menawarkan pekerjaan kepada penerima.

Lampiran

Tiada Lampiran.