Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

230) BIASISWA NEGERI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Minta kerajaan menjelaskan apakah kerajaan bersedia untuk mengemukakan satu kertas putih khas untuk menyusun strategi trajektori pekerjaan bagi anak Selangor yang mengambil biasiswa atau pinjaman pendidikan negeri sebagai galakan buat anak Selangor untuk berkhidmat semula di negeri tercinta?

    Untuk makluman Yang Berhormat, secara umumnya pinjaman boleh ubah pendidikan negeri Selangor yang diuruskan oleh Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor terbuka kepada pelbagai bidang pengajian. Manakala Biasiswa Pendidikan Negeri Selangor mengkhususkan kepada bidang-bidang tertentu yang digariskan di bawah Smart Selangor iaitu termasuk tadbir urus, pengurusan air, tenaga dan utility, pengurusan sisa, pembinaan dan perumahan, pengangkutan, keselamtatan, kesihatan, pertanian.

    Strategi trajektori pekerjaan sebagai galakan buat anak Selangor berkhidmat di Selangor kepada penerima insentif pendidikan ini akan secara langsung menghadkan bidang pengajian yang layak menerima inisiatif ini selain mengurangkan kadar cendekiawan di kalangan anak negeri Selangor yang mungkin berkhidmat di negeri bersebelahan atau di luar negara tetapi masih menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Selangor.

    Walau bagaimanapun, para penerima inisiatif pendidikan khususnya yang menerima biasiswa pendidikan negeri Selangor disyaratkan bahawa sekiranya dikehendaki oleh Kerajaan Negeri dalam tempoh dua belas (12) bulan daripada tarikh lapor diri tamat pengajian, pelajar perlu berkhidmat dengan Kerajaan Negeri atau mana-mana badan yang diarahkan dalam apa-apa jawatan yang sesuai dengan kelayakan pelajar. Syarat tersebut adalah termaktub dalam perjanjian antara pelajar dan Kerajaan Negeri Selangor.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri bersedia meneliti cadangan Yang Berhormat setelah kajian terperinci khususnya keperluan pasaran pekerjaan semasa dalam menetapkan penerima inisiatif pendidikan seperti biasiswa dan pinjaman pendidikan kepada anak Selangor kelak.

Lampiran

Tiada Lampiran.