Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

134) BIASISWA KEPADA PELAJAR IPTA /IPTS

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Lai Nyuk Lan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan kepada kerajaan pusat sedang memotong biasiswa kepada pelajar IPTA/IPTS. Adakah Kerajaan Negeri mengambil tindakan positif untuk membantu pelajar anak Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin  dengan  keperluan  pendidikan  pelajar anak-anak Selangor semenjak awal penubuhan kerajaan ini pada tahun 2008, dengan program Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti program Hadiah Masuk IPT yang diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

     

    Kerajaan Negeri juga amat prihatin dengan keadaan ekonomi semasa, serta segala kekangan tambahan akibat daripada pemotongan biasiswa kepada pelajar IPTA / IPTS oleh Kerajaan Pusat, selain daripada potongan peruntukan yang besar kepada universiti-universiti tempatan secara amnya.

     

    Bagi meringankan beban pelajar, terutama daripada golongan keluarga berpendapatan rendah, Kerajaan Negeri Selangor berinisiatif menyediakan Program Khas Biasiswa Selangorku untuk pelajar-pelajar di Universiti di bawah Kerajaan Negeri iaitu Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) dan Universiti Selangor (UNISEL). Pada 22 Mac 2016, tawaran pertama telah diberikan kepada 103 orang pelajar daripada kedua-dua Universiti ini. Tawaran Biasiswa ini sejajar dengan dasar Kerajaan Negeri untuk membangun Smart Selangor yang peduli – dengan kos yang terlibat keseluruhannya adalah sejumlah RM4.95 juta. Tahun ini, Kerajaan Negeri akan terus menawarkan Biasiswa Selangorku dengan tambahan peruntukan sebanyak RM5 juta lagi.

     

    Bagi pelajar-pelajar yang bakal menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah di luar negara, Kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan Program Biasiswa ‘Brain Bank’ yang akan dilaksanakan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

     

    Selain daripada inisiatif yang telah dinyatakan, kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan Bantuan Sara Diri bagi pelajar-pelajar KUIS, UNISEL dan

     

    INPENS dengan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun. Bantuan ini dikhususkan bagi pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang mengambil pinjaman PTPTN atau PTPK.

     

    Kerajaan Negeri juga ada menyediakan khidmat Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor kepada pelajar-pelajar yang berkelayakan di IPTA atau IPTS seluruh negara. Pinjaman yang diberikan merupakan pinjaman tanpa faedah dan juga boleh diubah kepada bentuk biasiswa sekiranya pelajar tersebut memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.