Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
72) BIASISWA ATAU PINJAMAN UNTUK PELAJAR PENGAJIAN TINGGI
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Ir. Muthiah A/l Maria Pillay
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adalah menjadi tugas utama sebuah kerajaan memberi pendidikan percuma kepada semua rakyatnya sekurang-kurangnya sehingga memperoleh ijazah pertama. Pinjaman PTPTN yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan tidak dapat membiayai semua kos bagi seseorang pelajar. Mereka masih terpaksa minta bantuan kewangan daripada pihak - pihak tertentu. Kerajaan Negeri pula tidak meluluskan pinjaman atau biasiswa tambahan kepada pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN. Apakah langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi menyelesaikan perkara tersebut ?
Kerajaan Negeri telah menawarkan Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor kepada pelajar-pelajar yang berminat untuk mengikuti pengajian di peringkat IPT melalui pembiayaan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS). Namun begitu, bantuan tersebut hanya akan diberi keutamaan kepada pemohon yang belum menerima tajaan daripada mana-mana pihak penaja. Hal ini adalah disebabkan oleh kuota dan kos yang terhad bagi menampung dua (2) sesi pengambilan pelajar, iaitu sebanyak 1,000 tempat dengan kos berjumlah RM5,510,000.00 setahun.
Walau bagaimanapun, terdapat tiga (3) buah Jabatan/ Agensi di bawah Kerajaan Negeri yang menawarkan pembiayaan pelajaran di peringkat pengajian tinggi, sama ada berupa biasiswa, pinjaman atau dermasiswa kepada pelajar-pelajar, terutamanya Anakanak Negeri Selangor yang melanjutkan pengajian di IPTA/ IPTS seluruh negara seperti berikut:
- Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) yang menyediakan kemudahan Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah di IPTA/ IPTS dalam pelbagai bidang;
- Yayasan Selangor yang menyediakan kemudahan Biasiswa Kecil dan Biasiswa Khas kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 hingga 5, Dermasiswa kepada pelajar cemerlang Tingkatan 4 dan Pinjaman Pelajaran kepada pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT, khususnya IPT Kerajaan Negeri Selangor (UNISEL/ KUIS/ INPENS/ IKYS); dan
- Pusat Zakat Selangor/ Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang memperuntukkan dermasiswa zakat, khusus kepada pelajar-pelajar beragama Islam yang melanjutkan pengajian di Timur Tengah.
Kemudahan pembiayaan tersebut boleh diperolehi dengan membuat permohonan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan/ Agensi yang berkaitan.
Selain itu juga, Kerajaan Negeri turut menawarkan bantuan kepada anak-anak Negeri Selangor yang kurang berkemampuan bagi melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi melalui program Hadiah Pengajian IPT Kerajaan Negeri Selangor (Hadiah Anak Masuk Universiti). Bantuan tersebut merupakan salah satu kemudahan yang ditawarkan menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), di mana bantuan tersebut berupa sumbangan insentif berjumlah RM1,000.
Bantuan tersebut merupakan satu kemudahan kepada pelajar sebelum mereka memperolehi sumber kewangan dari pihak penaja untuk mengikuti pengajian dalam bidang yang dipilih. Bantuan berkenaan juga mampu meringankan beban tanggungan ibu bapa/ penjaga pelajar bagi menampung kos perbelanjaan pelajar semasa di universiti kelak. Bantuan ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi menunaikan tanggungjawab sosial terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor, terutamanya dari golongan mahasiswa IPT.