Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

27) BERNIAGA INTERNET

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan untuk membantu golongan belia untuk berniaga di Internet?

    Di bawah Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC) yang diterajui oleh Y.B. Dato’ Teng Chang Khim telah melaksanakan program Online 100 yang merupakan platform pemasaran atas talian untuk usahawan Selangor.  Platform ini dilancarkan pada tahun 2015 dan bertujuan untuk menjadikan Selangor sebagai hub perdagangan untuk e-commerce.  Platform ini merupakan himpunan daripada beberapa  e-marketplace.  Sasaran awal usahawan bagi program ini adalah sebanyak 100 usahawan untuk menyertai platform ini.  Selepas program ini dijalankan jumlah jualan dari semua e-marketplace platform adalah meningkat daripada RM2.5 Juta pada tahun 2015 kepada 4.8 juta pada tahun 2017.

     

    Sehingga Mac 2018 sebanyak 330 usahawan telah menyertai program Online 100. Tiga (3) kategori perniagaan utama pada platform ini adalah barangan bayi dan kanak-kanak sebanyak 16.59 %,  diikut dengan fesyen dan barangan rumah masing-masing sebanyak 16.05% dan 13.9%. Berikut merupakan perincian usahawan yang menyertai Online 100 :-

     

    Jenis Perniagaan Pecahan (%)
    Barangan bayi dan kanak-kanak 16.59%
    Barangan rumah dan kehidupan 13.90%
    Fesyen 16.05%
    Barangan runcit 10.70%
    Kesihatan dan kecantikan – 13.90%
    Barangan sukan dan rekreasi 10.17%
    Barangan Elektronik 10.14%
    Buku, cerita, dan alatan tulis 6.42%
    Perkhidmatan, kupon dan tiket 2.14%

     

    SumberSelangor Information Technology and E-Commerce Council

     

  2. Apakah manfaat yang boleh diperolehi Kerajaan kalau makin ramai aktiviti perniagaan dijalankan secara online di Selangor?

    Perniagaan dalam talian atau online amat popular dan digemari oleh masyarakat pada masa kini. Kaedah perniagaan ini mudah dimulakan dan dijalankan dengan modal yang rendah.

    Perniagaan dalam talian turut memberi peluang kepada peniaga beroperasi selama 24 jam setiap hari. Teknologi yang canggih kini membolehkan pengguna internet membeli-belah dalam talian pada bila-bila masa dan di mana sahaja dimana skop perniagaan akan lebih meluas.

    Dengan adanya perniagaan dalam talian, Kerajaan Negeri dapat menjimatkan kos penyediaan pusat atau tempat operasi yang kosnya pada masa kini amatlah tinggi.

    Perkembangan ini bukan sahaja telah mewujudkan industri penghantar barang (runner) malahan beberapa 
pasar raya utama telah mewujudkan kemudahan tempahan barang keperluan secara dalam talian dengan penghantaran percuma.

    Kemudahan kepada pengguna yang tidak perlu meninggalkan rumah atau pejabat di samping menjimatkan minyak dan masa perjalanan ke kedai menjadi antara tarikan utama perniagaan dalam talian terus menjadi pilihan ramai, cuma tempah dan tunggu barang tersebut sampai di depan pintu.

    Selain barang mahupun makanan, perniagaan dalam talian juga memudahkan tempahan perkhidmatan seperti mencuci, memindah barang, menyelenggara peralatan elektrik dan banyak lagi.

    Kesimpulannya, perniagaan dalam talian mempermudahkan urus niaga bukan sahaja untuk pelanggan malahan kepada peniaga sendiri. Dengan bantuan dan pemantauan kerajaan, perniagaan dalam talian dapat melahirkan lebih ramai jutawan dan memudahkan urusan harian rakyat di seluruh negara. Keadaan ekonomi Negeri Selangor akan lebih rancak jika perniagaan atas talian ini digunapakai secara menyeluruh yang akan turut mengangkat nama Kerajaan Negeri Selangor sebagai hub pengeluar usahawan atas talian yang lebih maju berbanding dengan negeri lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.