Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

61) BENTUK BANTUAN KERAJAAN NEGERI KEPADA FAS

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bentuk bantuan Kerajaan Negeri kepada FAS bagi tahun 2020 - 2023 dan berapakah nilai RM-nya?

    Kerajaan negeri Selangor sangat komited dan menyokong penuh dalam memastikan program pembangunan bola sepak yang dijalankan oleh semua pihak di negeri Selangor terutamanya melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dengan Persatuan bolasepak Selangor mahupun Selangor FC. Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan peruntukan sejumlah RM 10 juta setiap tahun kepada pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor bagi tahun 2020 hingga 2023.

    Peruntukan tersebut disalurkan kepada pengurusan pasukan bolasepak Negeri Selangor bagi memastikan kesinambungan program pembangunan bola sepak dan kegemilangan skuad Merah Kuning. Melalui Majlis Sukan Negeri Selangor bersama Persatuan Bolasepak Selangor sentiasa memastikan program pembangunan bolasepak terus diperkembangkan diseluruh negeri Selangor melalui program-program yang telah disediakan terutamanya diperingkat akar umbi. Ianya bagi memastikan matlamat melahirkan pemain bolasepak terbaik dari negeri Selangor tidak akan terputus.

    Kesemua program pembangunan bola sepak ini telah melibatkan lebih dari 10,000 peserta dari seluruh Selangor. Kerjasama rapat di antara Selangor FC dan FAS diteruskan untuk memperkukuhkan struktur liga Selangor bagi menggalakkan penglibatan pemain muda dari semua daerah Selangor dengan mensasarkan penglibatan atlet elit remaja yang terbaik dari Seluruh Selangor.

    Sehingga kini Selangor FC telah mempunyai seramai 120 pemain bolasepak profesional yang berumur di antara 16 – 35 tahun (pasukan Liga Super, B-23, B-20, B-18), 50 pemain bolasepak amatur (pasukan futsal dan wanita), 100 pemain akademi (Sekolah Sukan Negeri), 2000 pelatih-pelatih akar umbi B-12 tahun dan 200 jurulatih sambilan (Selangor FC Soccer Schools) dan seramai 70 orang pegawai teknikal pakar yang terdiri daripada jurulatih, jurulatih kecergasan, fisio, pakar pemakanan, penganalisa video dan pegawai perubatan yang bekerja secara sepenuh masa. Pasukan-pasukan di bawah Selangor FC ini telah bertanding dan mewakili negeri Selangor dalam pertandingan-pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berlangsung sepanjang tahun.

    Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pula telah menjalankan pelbagai inisiatif dan program pembangunan bola sepak yang melibatkan kelab-kelab bolasepak ahli gabungan FAS, jurulatih, pengadil dan pemain bola sepak lelaki dan perempuan di peringkat komuniti. Secara rumusan, jumlah program tahunan FAS adalah sebanyak 117 program seperti pertandingan, klinik dan kursus bola sepak yang melibatkan seramai 17,936 peserta berumur dari 7 sehingga 40 tahun di seluruh Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.