Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
17) BENTUK BANTUAN KERAJAAN KEPADA PENGURUSAN KUIL HINDU DI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah bentuk bantuan kerajaan kepada pengurusan kuil Hindu di Selangor?
Bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada pengurusan kuil Hindu dan rumah ibadat bukan Islam yang lain adalah khidmat nasihat bagi penyelesaian isu-isu berkaitan dengan rumah ibadat melalui Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) selaku urusetia, bersama dengan agensi-agensi teknikal seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Selain itu bantuan kewangan turut diberikan bagi tujuan seperti berikut:
- Baikpulih bangunan keagamaan sedia ada;
- Sumbangan bagi tujuan pemindahan bangunan keagamaan yang dirobohkan dan pembinaan baharu bangunan keagamaan;
- Pendidikan keagamaan; dan
- Pembelian peralatan bagi tujuan mengadakan kelas- kelas agama.
-
Apakah cara bantuan tersebut disampaikan?
Bantuan kewangan ini disampaikan sama ada melalui cek atau Electronic Fund Transfer (EFT) kepada akaun bank Persatuan yang memohon dan diluluskan permohonan melalui Sistem Bantuan Kewangan Rumah Ibadat Lima Agama (LIMAS).
-
Jika berbentuk wang berapakah nilainya bagi setiap satu kuil?
Tiada nilai spesifik yang ditetapkan bagi kuil atau mana-mana rumah ibadat bukan Islam yang memohon bantuan kewangan dengan Kerajaan Negeri. Namun penilaian bagi penentuan jumlah sumbangan kepada sesebuah rumah ibadat akan melihat kepada faktor keluasan rumah ibadat, keperluan pembaikan dan penyelenggaraan, kedudukan kewangan semasa rumah ibadat serta jumlah penganut yang beribadat di rumah ibadat tersebut.